Harga makin mahal, saiz makin kecil

Sabak Bernam: Tidak mustahil dalam tempoh dua tahun lagi hidangan istimewa char kuetiau kerang, kerang bakar, rendang kerang atau sambal kerang hanya ‘tinggal nama’ jika kepupusan spesies kerang darah (Tegillarca granosa) tidak diatasi.

Trend kemerosotan sumber makanan laut ini kian ketara apabila harga kerang darah semakin mahal manakala saiznya semakin mengecil berbanding beberapa dekad lalu.

Mengambil perbandingan 10 tahun lalu, sekilogram kerang boleh dibeli pada harga RM3 sekilogram namun kini harganya melangkau hingga RM18 sekilogram. Ia dianggap harga paling mahal dalam sejarah.

Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Azimah Jumatli berkata, pihaknya menyedari isu ini dan keluhan pengguna susulan kenaikan harga kerang yang dianggap tidak munasabah.

Menurutnya, negeri Selangor pernah dikenali sebagai negeri yang banyak mengeluarkan hasil kerang berbanding negeri lain kira-kira 10 tahun lalu.

“Di negeri ini, ada tiga kawasan pengeluaran kerang dan terdapat banyak lot di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Klang. Dahulu terdapat 10 lot di Klang namun yang aktif hanyalah dua sahaja kini.

“Keadaan sama juga di Jeram, Kuala Selangor apabila hanya enam lot sahaja yang aktif berbanding 40 lot sebelum ini.

“Bila kita tawarkan lot kerang ini kepada pengusaha, mereka datang semula kepada kami dan mengadu dasar subtract tidak sesuai dan tidak ideal untuk pembenihan kerang berikutan sudah keras,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihak Jabatan Perikanan mendapati subtract itu keras disebabkan pengurusan terdahulu yang tidak membuang kulit kerang yang sedia ada menyebabkan ia semakin berlapis-lapis dan mengeras.

“Akibatnya kawasan ternakan kerang itu tidak ada lagi ‘lanyur’ atau lumpur yang sesuai untuk pembesaran kerang. Ini adalah antara punca utama kesukaran kerang terus membiak.

“Di samping itu juga, mungkin berlaku perubahan muka bumi yang tidak boleh dielakkan dan ia di luar kawalan kita. Perkara seperti ini menyumbang faktor pengurangan pengeluaran kerang di laut,” katanya.

Malah, menurutnya, pembiakan dan tumbesaran kerang turut terjejas kesan perubahan suhu, kealkalian atau keasidan air, rendah kandungan oksigen, pencemaran bahan kimia serta aktiviti kutipan tidak terkawal.

Beliau berkata, kecurian dan pencemaran laut juga antara faktor yang tidak boleh dielakkan apabila membabitkan hayat haiwan bercengkerang itu.

AZIMAH. FOTO Ihsan Azimah Jumatli
AZIMAH. FOTO Ihsan Azimah Jumatli

“Wujud aktiviti mengutip benih kerang secara haram sebelum diseludup ke negara jiran terutama Thailand berikutan negara itu tidak memiliki spesies kerang darah.

“Oleh itu, kami mohon dengan kerajaan negeri memperkasakan penguatkuasaan kami dengan peralatan yang sesuai.

“Jabatan ini juga sudah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang nelayan perlu mendapat permit atau lesen dari Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam jika mahu mengutip hidupan ini. Hanya kerang bersaiz melepasi 4 milimeter dibenarkan untuk dikutip.

“Selepas diluluskan, barulah nelayan boleh mengutip benih kerang ini dan kebiasaannya, mereka akan bawa bersama kad nelayan mereka,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perbezaan nelayan yang mengambil benih kerang secara semula jadi dengan nelayan yang mengusahakan lot kerang, beliau berkata, ada perbezaan di antara kedua-dua nelayan ini.

“Ada yang membuat perbandingan, kenapa tidak kasihan kepada nelayan kecil pendapatannya rendah berbanding menyokong nelayan yang memelihara kerang. Bagi saya, ia dua perkara yang berbeza.

“Pertama, nelayan yang juga pengusaha kerang diberikan lot. Dia memohon lesen dan kos ditanggung sangat besar berikutan benih kerang perlu dibeli. Sekiranya tidak cukup, dia perlu dapatkannya dari negeri lain seperti Perak atau Johor.

“Tidak semestinya benih yang ditabur itu benar-benar subur dan itu risiko yang perlu ditanggung pengusaha. Berbanding nelayan kecil yang terjumpa benih kerang…dia hanya ambil dan jual,” katanya.

Azimah berkata, kawasan dikenal pasti terdapat benih kerang semula jadi akan dirizab dan diwartakan supaya tidak ada pihak meletakkan lot mereka di situ atau menjadi punca perebutan antara pengusaha.

“Menyedari masalah ini (kemerosotan kerang), kami akan melakukan pemetaan semula untuk kawasan kerang di negeri ini bagi meningkatkan semula pengeluaran hasil laut berkenaan.

“Usaha ini akan dilakukan bersama Insitut Penyelidikan Perikanan (IPP) bermula tahun depan.

“Melalui pemetaan semula ini, pihak kami berharap sistem pengurusan kerang yang lebih kemas dan teratur selain menawarkan tempat yang subur bagi melestarikan pengeluaran hasil laut pada masa akan datang,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi sebelum ini pernah melahirkan kegusaran apabila jumlah pendaratan kerang amat membimbangkan bermula 2010 hingga 2016 penurunan amat tinggi iaitu sebanyak 80 peratus.

Menurutnya, Jabatan Perikanan mengambil langkah menambah baik Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002 bersama pihak berkepentingan.

‘Tak akan pupus tapi merosot dengan ketara’

“Susah mahu menjangkakan sama ada kerang darah (Tegillarca granosa) mampu bertahan atau pupus beberapa tahun lagi. Namun saya akui saiznya semakin mengecil,” ujar nelayan, Zulkanain Saidik, 30,

Menurutnya, saiz kerang ditangkap tidak lagi seperti dua dekad lalu dan kian sukar diperoleh.

“Selama 15 tahun menjadi nelayan, saya lihat haiwan bercengkerang ini keluar dari habitatnya secara semula jadi. Ia adalah rezeki dari Allah SWT dan ia bukan dibela nelayan.

“Bagi saya, tidak mungkin kerang akan pupus sepenuhnya namun ia akan mengalami kemerosotan ketara susulan faktor cuaca dan air laut,” katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar di sini.

Tambahnya lagi, penggunaan alatan moden seperti ‘rotor’ yang diperkenalkan 10 tahun lalu memudahkan nelayan untuk mencari kerang yang berada di ‘lanyur’ atau lumpur di persisir pantai.

Katanya, kaedah tradisional menangguk dan menongkah tidak dilupakan sama sekali walaupun kehadiran alatan moden itu dilihat memberi banyak manfaat kepada golongan nelayan.

“Dulu, kaedah tradisional untuk mencari kerang mengambil masa yang lama sehingga berjam-jam selain perlu peka bila air pasang dan surut serta cuaca tidak menentu.

“Namun, dengan adanya ‘rotor’ ini, nelayan boleh mencari kerang tidak kira waktu dan sedikit sebanyak menambah hasil pendapatan,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Muhammad Adib Afnan, 28, berkata, perairan pantai berkenaan adalah lokasi sesuai untuk pembiakan kerang berikutan ia berlumpur.

Namun dia mendakwa, saiz kerang ketika ini tidak menentu.

“Ada peniaga nak kerang 140 biji bagi satu kilogram. Malah, ada juga yang mahu 140 biji di bawah satu kilogram. Apa pun, kita cuba penuhi apa yang peniaga perlukan,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Adib berharap tiada pihak mengambil kesempatan ke atas golongan nelayan yang berhempas-pulas membawa pulang hidupan itu ke darat.

“Ramai orang tidak tahu nelayan berdepan dengan pelbagai risiko. Beberapa bulan lalu, salah seorang rakan kami meninggal dunia selepas terjatuh dari sampan ketika mencari kerang.

“Moga haiwan bercengkerang ini terus menjadi sumber rezeki buat kami. Untuk mencari pekerjaan lain, kami sudah laluinya sebelum ini namun jiwa tetap terpaut pada laut,” katanya.

Peralatan moden diguna ‘sapu’ benih kerang darah

Penggunaan pelbagai alatan moden untuk menangguk kerang dianggap antara punca spesies kerang darah (Tegillarca granosa) semakin mengecil dan kini dianggap makanan ‘orang kaya’.

Peniaga makanan laut, Siti Aminah Akhir, 40, berkata, alatan tradisional seperti tangguk dan tongkah (sampan kecil) digunakan satu ketika dahulu untuk menangkap kerang sebelum kaedah itu kian dilupakan.

Menurutnya, pelbagai alatan moden sebaliknya memberi kesan negatif apabila nelayan tidak hanya mengutip kerang bersaiz besar malah turut ‘menyapu’ benih kerang.

“Kira-kira 30 tahun lalu harga untuk sekilogram kerang sekitar RM2 sahaja. Bagi kerang darah bersaiz besar, pelanggan boleh mendapat 80 hingga 100 biji kerang untuk sekilogram.

“Kini berat 1 kilogram, pelanggan boleh dapat kira-kira 170 biji. Apa yang menyedihkan, saiznya tidak lagi seperti dahulu dan ia semakin kecil,” katanya kepada Harian Metro.

Dia yang berniaga di Baazar Dorani Perdana, Sungai Besar berkata, meskipun saiz kerang semakin hari semakin mengecil dan harganya mahal namun ia masih mendapat sambutan dari pembeli yang menggemarinya.

Tambahnya lagi, kerang mengambil masa kira-kira sembilan ke 10 bulan untuk membesar.

SITI Aminah dan Rusli menunjukkan kerang yang dijual pada harga RM10 sekilogram di Baazar Dorani Perdana.
SITI Aminah dan Rusli menunjukkan kerang yang dijual pada harga RM10 sekilogram di Baazar Dorani Perdana.

“Namun pelbagai faktor perlu diambil perhatian bagi membolehkan kerang ini membiak dan membesar dengan sempurna.

“Saya ambil contoh, cuaca yang tidak menentu dan bacaan pH air tidak stabil menyebabkan pembesaran kerang terbantut. Kebetulan saya dan suami (Rusli Salleh, 51) ternak kerang sendiri sejak enam tahun lalu. Ini menjadi kelebihan buat kami untuk mengetahui kitaran hidup haiwan bercengkerang ini.

“Bagi saya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan kerang ini tidak pupus buat selamanya. Mungkin ada kaedah atau alternatif untuk menangani masalah ini,” katanya yang berniaga sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Muhammad Yusof Sidek, 69, yang berniaga sejak 43 tahun turut mengakui saiz dan warna kerang jauh berbeza berbanding lapan tahun lalu.

“Kalau dilihat, warna kerang itu sendiri berubah dari putih kepada seakan kemerahan. Malah, saiznya juga makin kecil dan tidak lagi bersaiz ‘sedang’ seperti dulu.

“Hari ini, saya jual kerang dengan harga RM7 untuk sekilogram. Itu pun harganya sudah dianggap paling murah. Seandainya kerang semakin berkurangan, saya jangka harga tidak akan turun dan akan naik tidak lama lagi,” katanya yang berniaga di Pasar Awam Sekinchan.

Kata Muhammad Yusof, dia menjual kerang sebanyak 200 kilogram kerang setiap hari dan masih lagi mendapat sambutan meskipun tidak meriah seperti dahulu.

“Kerang ni kita ikut gred. Kalau gred 3 seperti yang saya jual, harganya RM7 dan kalau gred 4, harganya RM8. Boleh dikatakan harganya berbeza mengiku gred tertentu.