Harga minyak mentah AS negatif

New York: Harga minyak mentah di Amerika Syarikat (AS) jatuh merudum sehingga paras negatif, pada Isnin.

AFP melaporkan ia berikutan bekalan bahan api itu mengatasi permintaan susulan penularan wabak Covid-19.

Penanda aras harga minyak mentah global dunia di AS, West Texas Intermediate untuk hantaran Mei ditutup pada harga -$37.63 setong ( kira-kira RM165 setong).

The Guardian melaporkan harga negatif itu bermaksud pengeluar minyak terpaksa membayar pembeli untuk mengambil bahan bakar itu daripada mereka berikutan fasiliti simpanan sudah penuh.

Dalam pada itu, Presiden AS Donald Trump berjanji akan memanfaatkan situasi itu untuk mengisi Rizab Strategik Petroleum negara itu.

Ia adalah fasiliti bagi menyimpan bahan api berkenaan untuk negara berkenaan.

Menurutnya, AS akan menambah sehingga 75 juta tong minyak mentah ke fasiliti terletak di Teluk Mexico itu.

“Kita akan mendapatkannya (minyak mentah) pada harga yang tepat,” katanya.