Harga RM200 setong pun laku

Kuala Lumpur: Walaupun harga tong gas petroleum cecair (LPG) subsidi Malaysia naik mendadak mencecah 700,000 rupiah (RM200) setong di negara jiran, bahan bakar itu masih mendapat permintaan tinggi rakyat seberang.

Berdasarkan kajian, bekalan silinder LPG subsidi diseludup dari Malaysia lebih mudah diperoleh penduduk Indonesia yang tinggal berhampiran sempadan Sabah dan Sarawak berpunca faktor geografi.

Ketua Seksyen Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azizan Abdullah berkata, Sabah mencatat kes penyelewengan silinder gas LPG subsidi tertinggi berbanding negeri lain.

Menurutnya, Sabah turut mempunyai statistik kes berhubung aktiviti penyeludupan barang kawalan bersubsidi termasuk gula, tepung dan bahan makanan ke negara jiran.

“Antara faktor utama berlaku penyeludupan LPG bersubsidi di Tawau, Sabah sejak beberapa tahun lalu berpunca dari jarak sempadan yang luas,” katanya.

Menurutnya, demografi penduduk di Pulau Sebatik membabitkan taburan penduduk di antara Malaysia dan Indonesia yang mempunyai pertalian kekeluargaan atau persaudaraan.

“Ini memungkinkan penyalahgunaan kemudahan (barangan subsidi) disediakan Kerajaan. Malah rumah mereka sebahagiannya berada di kawasan Malaysia dan sebahagian lagi di kawasan Indonesia.

“Ia juga berpunca dari permintaan tinggi dari penduduk Indonesia terhadap tong LPG bersubsidi dari Malaysia memandangkan barangan kawalan subsidi Malaysia amat diperlukan mereka,” katanya.

Beliau tidak menafikan tong gas LPG Malaysia banyak diseludup ke negara jiran menggunakan taktik khidmat orang tempatan membeli dan membawa masuk tong LPG bersubsidi ke negara jiran melalui darat dan jalan laut.

“Ia dikesan aktif berlaku melalui Pulau Sebatik, Sabah termasuk di sempadan Sarawak. Sindiket menggunakan laluan tikus melalui jalan hutan belukar bagi membawa masuk tong LPG ke negara jiran ini.

“Selain itu pembekal atau peruncit tempatan dikesan bersekongkol dengan penyeludup, pembeli tempatan dan warga asing dari negara jiran yang boleh membeli secara terus tong LPG bersubsidi ini,” katanya.

Menurutnya, antara faktor mendorong ketirisan LPG ke negara jiran adalah perkongsian bersama pulau tanpa tembok pemisah kukuh dan sempadan berdekatan dengan Malaysia seperti berlaku di Pulau Sebatik, Sabah serta Tumpat Kelantan.

“Harga LPG di seluruh Malaysia dijual kepada penduduk tempatan pada harga RM22.80 untuk 12 kilogram (kg) dan RM26.60 setong (14 kg) lebih murah berbanding harga LPG di negara jiran.

“Harga LPG bersubsidi di dalam daerah Pulau Sebatik pula dijual dengan harga antara RM31.20 hingga RM35 setong termasuk kos pengangkutan mengikut zon manakala harga LPG komersial dijual pada harga RM67 di pulau itu. Bagaimanapun tindakan kita meningkatkan kawalan sempadan melalui Ops Benteng sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana menyebabkan harga barangan ini naik mendadak,” katanya.