Hargai harapan orang

KINI nama dan bakat seni Hael Husaini, 33, memang menjadi sebutan ramai. Terutama, pada lagu-lagu dihasilkannya.

Bukan hanya lagu dicipta untuk nyanyian sendiri yang ‘menjadi’, tapi lagu untuk penyanyi lain juga tidak mengecewakan.

Justeru, tak hairanlah apabila begitu ramai penyanyi lama dan baharu menyimpan impian untuk merakamkan lagu hasil sentuhan Hael.

Hingga timbul cerita yang mendakwa perlu menunggu lama dan ikut giliran untuk mendapatkan lagu Hael, sekurang-kurangnya selama setahun.

Bersua Hael baru-baru ini selepas sidang media program Immortal Songs yang akan disiarkan TV3, penyanyi lagu Jampi itu memberi penjelasan.

Katanya, dia jarang membiarkan orang menunggu lama untuk mendapatkan lagu diinginkan mereka. Menurut Hael, dia selalunya berterus-terang.

“Saya sebenarnya lembab juga untuk buat lagu dan perlu masa menciptanya. Apatah lagi, saya sangat utamakan kualiti pada karya yang dihasilkan.

“Bagi saya, biar lebih kualiti daripada kuantiti. Ditambah, lagu yang dicipta itu untuk dirakam penyanyi lain. Saya harus berikan mereka produk terbaik,” katanya.

Ujar pemilik nama sebenar Hal Husaini Razmi ini, penyanyi yang inginkan lagu daripadanya pasti memiliki harapan untuk karya dinyanyikan itu diterima baik pendengar.

“Saya sangat hormat dan hargai harapan setiap orang. Ini kerana, sudah pasti mereka (penyanyi) mahukan karya terbaik yang berkualiti untuk dipertaruhkan kepada peminat.

“Oleh itu, saya tak mahu tamak dengan menabur janji. Kalau lagu sudah ada, saya biasanya akan beri dan penyanyi berkenaan tak perlu menunggu lama,” katanya.

Ditanya juga apakah dia akan memilih penyanyi tertentu sahaja yang popular untuk bekerjasama, Hael menafikannya. Katanya, dia tidak bersikap memilih.

HAEL jarang biarkan orang tunggu lama dapatkan lagu dengan hasil karya terbaik.
HAEL jarang biarkan orang tunggu lama dapatkan lagu dengan hasil karya terbaik.

“Saya memang tak memilih dan sentiasa sedia untuk bekerjasama dengan sesiapa pun. Tak kiralah, mereka penyanyi yang popular dan dikenali ramai atau masih baharu lagi.

“Layanan saya tetap sama rata. Termasuk, tak menilai tahap vokal mereka pun. Bagi saya, kalau ada lagu pasti diberi dan karya itu mesti ada kualiti yang baik,” katanya.

Hingga kini, antara penyanyi yang pernah merakamkan lagu hasil ciptaan Hael ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Nabila Razali dan Wany Hasrita.

Masalah dengan Ezra, hanya spekulasi

Biarpun jarang dipalit cerita sensasi, namun tiba-tiba saja Hael dikait berhadapan masalah dengan rakannya yang juga komposer dan penulis lirik, Ezra Kong.

Mengulas perkara itu, Hael berkata, di antara dia dan Ezra, mereka memang tiada masalah dan masih tetap bersahabat baik.

Ujarnya, mereka juga bebas bekerjasama mencipta lagu dengan orang lain. Namun, masih saling merujuk lagu dan berbincang.

“Apa yang diceritakan mengenai hubungan persahabatan kami yang sudah renggang, saya anggap ia hanya spekulasi orang semata-mata.

“Realitinya, saya dengan Ezra masih berkawan baik. Bahkan, saya juga selalu rujuk lagu dengan dia dan kami memang tak ada masalah pun,” katanya.

Hael berkata, dia selesa melihat positif dan enggan melayan perkara tak benar. Ujarnya, tidak semestinya sudah jarang bekerjasama bermakna, mereka bergaduh.

Berbicara juga mengenai pembabitan dalam program Immortal Songs, Hael berkata, dia sukakan cabaran dan membuat eksperimen lagu.

“Malah, saya juga adalah peminat lagu-lagu Korea. Justeru, pembabitan dalam Immortal Songs banyak pengalaman baharu dan diyakini juga program ini menghiburkan. Saya seronok terbabit dalam program ini,” katanya.

Program Immortal Songs yang didaptasi daripada rancangan hiburan popular dari Korea Selatan akan mula disiarkan pada 30 Ogos ini, jam 9 malam di TV3.