Harian Metro ‘tawan’ Anugerah SAM

WARTAWAN sukan Harian Metro menyapu dua daripada enam kategori yang dipertandingkan pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2019 yang berlangsuung di Auditorium Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Penulis sukan bola sepak, Mohd Firdaus Mohd Hashim memenangi kategori Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak) yang berjudul ‘GBK huru-hara’ mendedahkan situasi menakutkan skuad Harimau Malaya dan penyokong Malaysia yang diserang penyokong Indonesia ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, tahun lalu.

Manakala gandingan mantap Aida Adilah Mat dan Ferzalfie Fauzi berjaya mendominasi kategori Berita Terbaik (Media Cetak) yang bertajuk ‘Along masuk gelanggang’ di mana segelintir pemain badminton negara diburu oleh ceti haram selepas meminjam duit untuk bermain judi.

Bagi Firdaus, 36, ia adalah pencapaian ketiganya selepas sebelum ini turut pernah memenangi anugerah Berita Sukan Terbaik anjuran PKNS pada 2017 lalu.

Malah pada tahun lalu, dia turut melakar sejarah unik dalam anugerah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2018 apabila buat pertama kalinya berita sukan tersenarai dalam tiga calon akhir dalam kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang.

Jelas Firdaus, kemenangan ini cukup istimewa dan menganggap ia adalah hadiah sempena hari kelahirannya pada 31 Ogos lalu.

“Ia adalah kejayaan bermakna selama lapan tahun sejak saya berkecimpung dalam dunia kewartawana sukan. Ia juga hadiah sempena hari jadi paling bermakna dan bernilai dalam hidup saya,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada Meja Sukan Harian Metro.

SAIFUL Affendy (kiri), Ferzalfie dan Syazwan (kanan) turut disenarai pendek bagi kategori Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik dan Laporan Khas Terbaik.
SAIFUL Affendy (kiri), Ferzalfie dan Syazwan (kanan) turut disenarai pendek bagi kategori Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik dan Laporan Khas Terbaik.

Sementara itu, Aida mengucapkan penuh kesyukuran di atas kemenangan ini dan mengakui tidak menyangka memenanganinya selepas turut melakukannya pada 2015 lalu dengan memenangi kategori Laporan Khas Terbaik.

“Tak sangka sebab pesaing-pesaing lain pun hebat-hebat belaka. Alhamdulillah rezeki tahun ini milik kami dan ia akan sememangnya menaikkan motivasi dan semangat kami,” kata Aida.

Susulan kemenangan itu, masing-masing membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM3,000.

Seorang lagi wartawan Harian Metro, Saiful Affendy Sapran disenarai pendek bagi kategori Berita Terbaik (Media Cetak), manakala Syazwan Msar turut tercalon bagi kategori Laporan Khas Terbaik.