Harimau Malaya dalam bahaya

Kuala Lumpur: Bukan mustahil jika spesies Harimau Malaya (Panthera Tigris) bakal pupus lima tahun lagi jika jumlah populasinya menurun di bawah 100 ekor.

Spesies haiwan dilindungi ini bakal tinggal ‘sejarah’ andai tiada usaha agresif dilakukan bagi memastikan memastikan ia dilindungi sepenuhnya.

Kebimbangan itu disuarakan sendiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-77, minggu lalu.

Selain membincangkan hal berkaitan dasar negara dalam mengurus, memaju dan mengawal penggunaan tanah untuk tujuan perlombongan, pertanian serta perhutanan, beliau turut menyentuh isu khazanah hutan yang harus dipelihara.

Muhyiddin menekankan isu kestabilan alam sekitar dan kelangsungan hidupan liar yang perlu dikekalkan supaya tidak terus terancam.

“Menurut dapatan awal Survei Harimau Kebangsaan Pertama menunjukkan kini hanya terdapat antara 130 hingga 140 ekor Harimau Malaya.

“Jika jumlah itu menurun kepada kurang daripada 100 ekor, spesies itu akan diancam kepupusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Justeru, beliau meminta semua kerajaan negeri mengambil langkah proaktif melindungi kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat utama Harimau Malaya supaya spesies itu tidak diancam kepupusan.

SURVEI Harimau Kebangsaan Pertama menunjukkan kini hanya terdapat antara 130 hingga 140 ekor Harimau Malaya.
SURVEI Harimau Kebangsaan Pertama menunjukkan kini hanya terdapat antara 130 hingga 140 ekor Harimau Malaya.

“Dalam usaha memperkayakan khazanah hutan pula, kerajaan akan melaksanakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

“Satu kerangka kewangan inovatif akan dilaksanakan bertujuan menyediakan insentif kewangan kepada semua kerajaan negeri bagi melindungi dan memelihara kawasan berhutan.

“Saya turut membangkitkan kepentingan mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan menerusi pendigitalan dalam pengurusan tanah, hutan dan sumber mineral seiring amalan norma baharu dalam masyarakat seperti mana sistem e-Tanah yang diguna pakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika ini,” katanya.

Beliau mengambil maklum mengenai Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2020-2030 yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi memajukan lagi potensi sektor mineral negara.

“Saya yakin pelan ini mampu merancakkan semula industri mineral secara holistik terutama penumpuan terhadap pembangunan sektor mineral pada peringkat pertengahan dan hiliran di negara ini berasaskan prinsip perlombongan mampan,” katanya.