Hati terusik di dasar laut

Kuala Lumpur: “Terasa sebak tatkala dapat mengibarkan bendera Malaysia pada kedalaman 11 meter di bawah laut,” itu luahan Nur Nelizza Abdul Manaf, 25, ketika ditanya keseronokan menyambut Hari Kebangsaan di dunia marin.

Wanita muda itu merasakan sambutan Hari Kemerdekaan setiap tahun dengan menyelam skuba bersama rakan-rakan yang mempunyai minat sama amat menyeronokkan kerana boleh meraikan dengan cara tersendiri.

Nur Nelizza berkata, acara sambutan kemerdekaan yang dianjurkannya pada tahun ini dinamakan Merdeka Dive 2020 sudah masuk tahun ketujuh sejak 2013.

Katanya, pada tahun ini dia bersama empat penyelam skuba lain memilih destinasi menyelam di Taman Negara Tunku Abdul Rahman di Sabah sebagai simbolik menghargai jasa Bapa Kemerdekaan negara.

“Sejak 2013, kami memilih pelbagai lokasi menyelam skuba untuk menyambut kemerdekaan antaranya di Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan di luar negara seperti di Indonesia dan Brunei.

“Pada tahun ini memandangkan tidak dapat ke luar negara untuk meraikan Hari Kebangsaan kerana pandemik Covid-19, kami melihat Taman Negara Tungku Abdul Rahman adalah destinasi terbaik,” katanya.

Nur Nelizza berkata, menyambut kemerdekaan dengan menyelam skuba terdapat cabarannya tersendiri, antaranya perlu memastikan Jalur Gemilang dibawa dengan penuh hormat dan dalam masa sama perlu menyelam dalam keadaan selamat.

“Agak sukar sebenarnya untuk memastikan kita dapat mengibarkan bendera di dunia marin kerana kadangkala terdapat arus menyebabkan kesukaran untuk merentangkan bendera.

“Perasaan amat sebak dan terharu apabila melihat rakan-rakan berusaha sedaya upaya untuk memastikan simbol kehormatan negara diuruskan sebaiknya dalam air,” katanya.

Katanya, dalam acara menyambut kemerdekaan kali ini, ia turut disertai peserta pelbagai bangsa yang menunjukkan kesatuan kaum dalam menghargai perjuangan dan pengorbanan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.

“Sebagai penganjur, saya amat menggalakkan sesiapa sahaja yang mempunyai lesen menyelam skuba untuk menyertai acara menyambut Hari Kebangsaan negara dengan cara ini. Asalkan mereka mempunyai lesen dan sihat tubuh badan.

“Pastinya, acara seperti ini akan diteruskan pada masa depan kerana bukan sahaja kita dapat melihat keindahan dunia marin Malaysia yang bertaraf dunia, malah dapat menjadikan peserta bersatu hati meraikan kemerdekaan negara,” katanya.