Helikopter terhempas, 2 cedera

Subang: Dua cedera, manakala tiga lagi terselamat selepas sebuah helikopter jenis Airbus H125 terhempas di kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.47 pagi.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dengan lima pegawai dan anggota bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi terdapat lima mangsa dalam keadaan stabil dan helikopter berkenaan tidak mengalami kebakaran,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, seorang lelaki patah kaki kanan dan seorang lagi cedera ringan di kaki, manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua mangsa menerima rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.