‘Helmet aku RM60K’

Kuala Lumpur: “Topi keledar Shoei J-Stream Polaris kelabu terpakai yang dijual pada harga RM14,000 ini bukan yang pertama dijual pada harga tinggi.

“Sebaliknya, kami pernah menjual dua lagi topi keledar siri Shoei J-Force 2 Jack kuning pada harga RM60,000,” kata pemilik Motojack Helmet Shop, Syairazi Mohd, 30.

Motojack Helmet Shop yang beroperasi di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu menjual lebih 100 topi keledar terpakai dari Jepun yang menjadi idaman ramai mat motor tegar.

Topi keledar ini kebanyakannya keluaran 2000 dan kini sudah tidak dikeluarkan lagi menjadikannya koleksi berharga untuk peminat.

Menurut Syairazi, Shoei J-Stream Polaris itu berjaya dijual kakitangan kedainya, Bukhari Rija, 27, kepada pengumpul topi keledar hanya mahu dikenali sebagai Jun, 30-an.

“Ramai yang bertanya mengapa topi keledar ini semua harga jualannya tinggi? Ia bukan kerana kami naikkan harga sesuka hati sebaliknya ia sudah tidak dikeluarkan malah ada sebahagiannya dikeluarkan dalam jumlah amat terhad.

“Saya sendiri pernah ke Jepun dan memohon pengurusan kilang topi keledar ini untuk menyambung pengeluaran namun mereka enggan kerana beranggapan edisi ini tidak akan dikeluarkan semula walaupun banyak permintaan,” katanya.

Menurut Syairazi yang fasih bertutur bahasa Jepun walaupun harganya mahal namun masih ramai yang mahu membelinya kerana nilai sentimental selain prestij.

Katanya, ini menjadikan topi keledar berkenaan semakin meningkat harganya selain dicari oleh peminat barangan vintaj.

“Ketika dibeli pada 2000, harganya sekitar RM3,000, namun dalam tempoh 10 tahun, ia melonjak sehingga RM9,000 seunit walaupun terpakai.

“Edisi lebih terhad dengan jumlah pengeluaran tidak sampai 100 unit seperti Shoei J-Force 2 Jack kuning mencecah harga RM30,000 seunit,” katanya.

Menurut Syairazi, bagaimanapun, permintaan tinggi itu sehingga menjadikan harganya mahal tidak berlaku di Jepun sebaliknya hanya di Malaysia saja.

Katanya, orang Jepun sendiri tidak tahu topi keledar berkenaan bernilai tinggi di Malaysia.

“Di Thailand, ada juga permintaan tinggi untuk topi keledar buatan Jepun, namun jenama dan reka bentuknya berlainan.

“Mereka lebih gemar kepada topi keledar berpenutup penuh Arai Haga GP dan SP Tadao Nakano,” katanya.

Menurut Syairazi, pengumpul topi keledar mahal seperti ini bukan hendak menunjuk-nunjuk sebaliknya hanya hobi.

Katanya, mereka hanya mahukan barangan yang sudah tidak dikeluarkan lagi selain keunikannya.

“Topi keledar seperti ini biasanya dipakai jika berkonvoi membabitkan 50 hingga 100 mat motor ketika cuti tahun baharu atau cuti panjang.

“Ia juga biasanya disimpan dalam almari kaca sebagai perhiasan. Biasanya, mat motor tegar gemar mengumpul topi keledar seperti ini.

“Modal memang besar, namun ia berbaloi kerana setiap orang ada minat masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, menurut Syairazi, kedainya juga menjual lebih 200 unit topi keledar berharga RM50 hingga RM400.

“Kami juga bekerjasama dengan kilang topi keledar di luar negara untuk menghasilkan reka bentuk produk sendiri.

“Saya juga bercita-cita mahu membuka kilang pembuatan topi keledar dengan jenama sendiri. Ia juga bagi membolehkan Malaysia dikenali negara lain dalam bidang penghasilan topi keledar,” katanya.