Hiba Hibakusha

Tokyo: Serangan bom atom di Nagasaki 75 tahun lalu yang membunuh sekitar 74,000 orang bukan hanya memusnahkan di lokasi bom itu meletus, bahkan memberi kesan berpanjangan kepada individu yang terselamat.

Serangan itu menyebabkan radiasi serta-merta dan dalam jangka masa panjang.

Penyakit berkaitan radiasi juga dilaporkan dengan gejala radiasi akut yang dikesan antaranya muntah, sakit kepala, loya, cirit-birit, pendarahan dan kehilangan rambut di mana ia menyebabkan mangsa maut dalam tempoh beberapa minggu atau bulan selepas berdepan ‘seksaan’ itu.

Sempena hari memperingati kejadian serangan bom di Nagasaki dan Hiroshima yang ke-75 tahun itu, AFP melaporkan mereka yang terselamat dalam kejadian itu digelar ‘hibakusha’ iaitu mangsa berdepan kesan jangka panjang termasuk risiko kanser thyroid dan leukimia.

Selain trauma fizikal dan psikologi, hibakusha juga berdepan prejudis akibat pendedahan kepada radiasi yang menyebabkan mereka sering ditolak untuk berkahwin.

Mereka yang terselamat kini menjadi suara paling kuat menentang penggunaan senjata nuklear bertemu pemimpin dunia di Jepun dan luar negara untuk menilai kes mereka.

Dalam kejadian pada 1945 itu, bom atom pertama yang digelar Little Boy dijatuhkan di bahagian barat Hiroshima oleh pengebom Amerika Syarikat (AS), Enola Gay.

Puluhan ribu individu maut serta-merta manakala yang terselamat berdepan kecederaan dan pelbagai penyakit beberapa minggu, bulan dan tahun selepas itu.

Tiga hari kemudian, AS melancarkan bom kedua digelar Fat Man di Nagasaki.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), letupan yang berlaku menghasilkan suhu 7,000 darjah Celsius yang menyebabkan luka bakar dalam jarak tiga kilometer.

Malah, ICRC mengatakan terdapat kes buta sementara atau kekal kerana dedahan cahaya yang kuat, dan kerosakan berkaitan seperti katarak.