Hikmah kecaman

MESKIPUN tahun ini negara dan kita berdepan dugaan besar dengan kewujudan Covid-19 yang masih menular, industri hiburan nampaknya kembali menyinar.

Pelbagai aktiviti hiburan sudah dibenarkan berlangsung dalam konsep normal baharu yang perlu mematuhi segala aspek prosedur operasi standard (SOP).

Bagi penyanyi Wani Kayrie, di sebalik dugaan yang dihadapi ini, sebenarnya masih ada hikmah yang perlu disyukuri.

Apapun, katanya setiap ujian yang datang itu perlu ditangani dengan cekal hati.

Berbicara lanjut, Wani, 20, berkata, untuk dirinya dia akur secara tiba-tiba dipalit beberapa cerita sensasi yang hadir tanpa sengaja pada tahun ini.

Ternyata perkongsian video tarian di Tik Tok yang dibuatnya memberi kesan besar apabila menjadi mangsa kecaman warganet.

Hingga Wani juga dilabel cuba mewujudkan isu perkauman menerusi warna kulit.

“Apa yang saya lalui itu adalah ujian untuk mengukur ketabahan dan kesabaran diri. Bagaimanapun, tetap ada manisnya dalam kerjaya seni saya terutama bidang lakonan yang baharu diterokai.

GEMBIRA hasrat peroleh lagu ciptaan Hael dan Ezra jadi kenyataan.
GEMBIRA hasrat peroleh lagu ciptaan Hael dan Ezra jadi kenyataan.

“Walaupun teruk dihentam netizen di media sosial hingga saya perlu menutup seketika akaun itu, namun masih ada hikmahnya. Saya tidak sangka, tawaran berlakon buat saya terbuka luas.

“Saya kini dalam pertimbangan untuk menerima beberapa tawaran berlakon yang baharu. Malah, tiga daripada tawaran itu adalah untuk drama yang akan disiarkan di TV3,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah ini, dia tidak menyangka bakat lakonannya akan menarik perhatian pihak produksi tanah air.

Katanya, dia ambil peluang berlakon, sekadar mencuba.

“Saya suka cabar diri untuk timba pengalaman baharu. Bagi saya, selagi ada ruang dan peluang perlu mencuba dahulu. Sama ada berjaya atau tidak, saya enggan memikirkannya kerana yang pasti sudah melakukan sebaik mungkin.

“Sejujurnya, saya kini berdebar menunggu bagaimana reaksi penonton untuk drama Dayang Senandung lakonan saya. Walaupun akan disiarkan pada Oktober depan di RTM, masa cukup pantas berlalu.

“Harapan saya semoga ia mendapat sambutan yang bagus. Sebagai pelakon baharu, saya sedaya upaya melakukan terbaik untuk drama berkenaan. Saya harap tidak terlalu dikecam nanti,” katanya.

TAK sangka tawaran berlakon terbuka luas.
TAK sangka tawaran berlakon terbuka luas.

Wani yang kini melanjutkan pengajian ijazah undang-undang berkata, dia bersyukur dapat membahagi masa dengan teratur antara kerjaya seni dan tuntutan pelajaran.

“Alhamdulillah, saya masih boleh aktif dalam kerjaya seni meskipun sekarang sibuk belajar. Syukur, fokus pada pelajaran saya tidak terganggu dan setakat ini segalanya berjalan lancar.

“Saya pun tidak tertekan atau penat sangat kerana kerjaya seni dan pelajaran adalah dua perkara yang saya suka. Jadi, saya nekad memastikan kedua-duanya bergerak seiring,” katanya.

Wani yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, dia perlu positif menunjukkan semangat kuat dalam dirinya mengejar impian hidup supaya langkah itu diikuti adik-adiknya.

Teruja dapat lagu Hael Husaini

Pernah popular dengan lagu Jangan Jangan dan Aku Suka Kamu, Wani hingga kini tidak gentar berusaha mendapatkan lagu baharu berkualiti untuk kerjaya nyanyiannya.

Jika tahun lalu, dia muncul dengan lagu Magika yang bergenre dangdut koplo, bagi buah tangan untuk tahun ini, Wani memaklumkan dia memilih genre pop balada.

Bagi merealisasikan impian itu, Wani sangat berbesar hati mendapatkan lagu daripada hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Hael Husaini bersama Ezra Kong.

“Saya dijangka masuk studio rakaman sekitar Ogos ini. Saya gembira akhirnya hasrat mendapatkan lagu ciptaan Hael dan Ezra jadi kenyataan meskipun perlu menunggu giliran agak lama.

BERDEBAR tunggu reaksi penonton terhadap lakonannya drama Dayang Senandung.
BERDEBAR tunggu reaksi penonton terhadap lakonannya drama Dayang Senandung.

“Kira-kira setahun juga saya menunggu peluang dan Alhamdulillah berjaya juga. Ia adalah kerjasama kali pertama saya dengan Hael dan Ezra. Malah, lagu mereka itu menjadi harapan baharu saya.

“Terima kasih diucapkan dan semoga lagu baharu ini akan membantu melonjakkan semula kerjaya nyanyian saya. Apatah lagi, saya ingin melangkah hingga pentas Anugerah Juara Lagu (AJL),” katanya.

Mengulas perancangannya dalam nyanyian, Wani berkata, dia berhasrat mahu tampil dengan dua lagu baharu pada tahun ini.

Apapun katanya, semua itu bergantung pada rezeki.