Hikmah perut buncit

Beijing: Seorang lelaki di China bernasib baik apabila perut buncit dimilikinya menghalangnya daripada terjatuh ke dalam perigi.

The Sun melaporkan lelaki dikenali sebagai Liu, 28, yang memiliki berat 120 kilogram itu tersekat di perigi di rumahnya di daerah Yichuan, Luoyang, Henan.

Menurut laporan Jabatan Bomba Luoyang, perigi itu digunakan sejak beberapa tahun sehingga airnya kering.

Atas alasan keselamatan, ahli keluarganya memutuskan untuk mengisi perigi itu dengan kayu.

Liu kemudian ditugaskan untuk mengisi kayu ke dalam perigi itu.

Namun, ketika melakukannya, dia tergelincir lalu terjatuh ke dalam perigi.

Bagaimanapun, lelaki itu bernasib baik kerana perutnya menyekat badannya daripada terus terjatuh ke dasar perigi.

Lelaki itu kemudian diselamatkan dengan bantuan bomba.

Anggota bomba berkata, sebaik tiba, mereka melihat lelaki itu tersekat dan memerlukan tali untuk mengeluarkannya dari perigi itu.

Lelaki itu yang dilihat tenang hanya berpeluk tubuh sebelum ditarik keluar dari perigi berkenaan.

Dia dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius selain hanya melecet pada kulit perut. – Agensi