Hikmah untuk semua

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sehingga 28 April ini bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 dianggap hikmah terbesar dalam diri pelakon cantik, Ruhainies.

Walaupun seluruh dunia sedang diuji, Ruhainies, 28, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas menganggap tempoh PKP adalah waktu untuk semua pihak bertenang.

Ini termasuk dirinya yang diakui sentiasa sibuk dengan komitmen kerja. Malah, ada ketika tidak berpeluang meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Bagi Ruhainies yang juga pelakon Maaf Tak Indah yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini, PKP ini dijadikan kesempatan buat dirinya memanfaatkan setiap ruang dan waktu yang pernah dilupakan.

“Dalam pada kita menerima ujian Allah SWT dengan reda dan sabar, sebenarnya apa yang berlaku ini memberikan banyak hikmah. Saya percaya bukan saja saya, tapi buat semua orang, terutama mereka yang sentiasa sibuk dengan kerja sehingga tidak ada masa bersama keluarga.

“Inilah peluang terbaik untuk menebus semua itu. Tumpukan sepenuh masa bersama anak, isteri, suami atau ibu bapa.

“Jika perkara ini tidak berlaku, nak dapat waktu kualiti bersama memang susah. Macam saya, diakui sejak berlakon terpaksa curi waktu untuk luangkan masa bersama keluarga. Kalau kebetulan dapat, rasa bersyukur sangat,” katanya.

Ruhainies berkata, sepanjang PKP dilaksanakan, dia berpeluang melakukan pelbagai aktiviti di rumah seperti memasak dan menonton filem Hindi.

Ia sekali gus mengeratkan hubungan mereka sekeluarga.

“Kalau sebelum ini nak tengok saya masuk dapur memang susah. Tapi sejak PKP, sangat rajin. Bukan untuk makan saja, tapi memasak. Saya belajar masak dengan emak.

“Saya tahu memasak, tapi tidaklah sehebat emak. Bagi masakan ringkas saya boleh buat, tapi untuk menu berat saya kena belajar. Sekurang-kurangnya, sepanjang PKP ini ada perkara baru dipelajari.

“Selain itu, saya dapat luangkan masa dengan menonton filem kesukaan iaitu Hindustan. Sebelum ini nak habiskan satu filem pun susah. Sekarang, tengok puas-puas,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan dengan kekasihnya dikenali sebagai Mr E, Ruhainies berkata, ia berjalan seperti biasa.

“Kami okey saja, tapi sejak PKP, memang tidak boleh berjumpa. Lebih banyak berhubung di telefon saja.

“Lagipun, sebelum dia kembali menetap di tanah air, kami menjalin hubungan secara jarak jauh atau PJJ (perhubungan jarak jauh). Itu sebab apabila PKP ini dilaksanakan, ia bukan masalah. Cuma, perasaan rindu mestilah ada,” katanya.

Soal kahwin, Ruhainies menegaskan dia tidak mempunyai sebarang perancangan tahun ini.

“Yang kahwin tahun ini orang lain, bukan saya. Seperti dikatakan sebelum ini, kena tunggu kakak, Risteena kahwin dulu baru saya,” katanya.

Rindu bekerja

Apa yang pasti, Ruhainies mengakui dia juga sudah mula rindu untuk kembali menjalani rutin harian biasa iaitu menjalani penggambaran.

“Kalau ikutkan ada beberapa projek drama yang perlu dibuat. Tapi, disebabkan isu ini, semuanya ditunda. Kena tunggu sehingga semuanya selesai.

“Rindu nak bekerja memang ada. Tapi, mujurlah saya boleh buat kerja dari rumah dengan beberapa komitmen lain yang tidak memerlukan keluar rumah. Jadi, tidaklah terlalu bosan,” katanya.

Sementara itu, Ruhainies juga berkongsi dia dilantik menjadi wajah kempen bagi koleksi raya jenama Mek Kembang Cotton.

“Alhamdulillah, sebelum PKP dilaksanakan saya sempat menyelesaikan tugasan kempen ini dengan menjalani sesi fotografi dan pertunjukan fesyen.

“Tinggal lagi, saya kena buat promosi di Instagram. Insya-Allah, apa yang berlaku ini ada hikmah,” katanya.

Dalam pada itu, Ruhainies juga sibuk menjayakan beberapa sesi siaran langsung di Instagram bersama pihak media dan program TV.