Hilang deria bau, rasa mungkin gejala COVID-19 – Pakar

Daripada 3,200 pesakit di Daegu, Korea Selatan yang melalui satu kaji selidik, 490 individu mengalami gejala hilang deria bau dan rasa.

JIKA anda kehilangan deria rasa dan bau biarpun tidak sakit, mungkin anda perlu berjaga-jaga.

Awal minggu ini, Hanshin Tigers, sebuah kelab besbol profesional di Jepun, memaklumkan tiga pemainnya diuji positif COVID-19, dengan salah seorang daripada mereka mengadu hilang kemampuan menghidu dan merasa.

Di Amerika Syarikat, Rudy Gobert, pemain bola keranjang pasukan Utah Jazz juga memaklumkan menerusi Twitter bahawa kehilangan deria bau dan rasa merupakan salah satu gejala, kerana dia sendiri mengalaminya sebelum disahkan positif virus berkenaan.

Sebuah persatuan perubatan di Daegu, Korea Selatan, yang merupakan antara lokasi dengan kes COVID-19 paling tinggi di negara itu, menyatakan daripada 3,200 pesakit yang melalui satu kaji selidik, 490 individu mengalami gejala yang sama.

Norio Sugaya, pakar penyakit berjangkit di Hospital Keiyu di Yokohama, Jepun, menegaskan terdapat beberapa kes di mana pesakit mengadu hilang deria rasa dan bau, yang boleh juga dialami jika pesakit dijangkiti virus lain yang menyebabkan selesema.

"Mungkin virus itu melekat pada membran mukus hidung dan menghalang fungsi saraf bau," kata Sugaya sambil menambah perkara itu perlu dianalisa dengan teliti.

"Jika pesakit mengadu hilang deria bau atau rasa walaupun mereka tidak mempunyai gejala selesema, doktor mungkin perlu bertanya lebih banyak soalan kepada mereka," kata ketua pusat otorhinolaryngology di Osaka, Yuji Toyama.

Setakat ini, gejala COVID-19 yang biasa dialami dan kerap dilaporkan ialah demam, batuk (dry cough) dan sakit tekak.