Hilang tiga anak serentak

Ipoh: Polis mengenalpasti identiti tiga kanak-kanak lelaki yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan dua lori di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang, di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, mangsa yang maut ialah Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1.

Katanya, ibu mangsa, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, cedera parah manakala dua pemandu treler dan lori tidak mengalami kecederaan.

Mohamed Nordin berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kemalangan yang membabitkan treler, lori dan Perodua Axia pada jam 3.50 petang.

Katanya, kemalangan pertama berlaku di antara dua treler di lorong kiri jalan yang membabitkan kes langgar belakang.

“Pihak PLUS yang datang meronda di lokasi kemalangan memberi bantuan serta kawalan lalu-lintas dan tiba-tiba datang Perodua Axia dari arah sama di lorong kanan lalu hilang kawalan dan berpusing melanggar di belakang treler membawa muatan elektronik yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Pulau Pinang.

“Keempat-empat mangsa tersepit, ibu cedera parah manakala tiga anak lelakinya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya sambil memaklumkan ibu mangsa masih dirawat di wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Menurutnya, punca kemalangan berpunca daripada Perodua Axia terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.

Beliau berkata, bedah siasat akan dilakukan pada jam kira-kira 3 petang esok.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita berkaitan

• 3 kanak-kanak maut, kereta langgar lori