Hina negara kecewa cinta ditolak jejaka Malaysia

Jakarta: Seorang wanita ditahan pihak berkuasa selepas menunjukkan protes dengan membakar serta menghina bendera dan Presiden Indonesia dipercayai kerana bengang cintanya ditolak jejaka Malaysia.

Wanita itu, Rohmeini Purba, 27, memuat naik video di akaun media sosialnya yang menunjukkannya melakukan perbuatan melampau menodai, menghina, atau merendahkan kehormatan lambang negara sebagaimana termaktub dalam undang-undang Indonesia.

Ketua Unit Jenayah Siber, Polis Sumatra Utara, Bambang Rubiyanto berkata, wanita berkenaan dipercayai membakar, memasak dan menggunakan bendera Indonesia sebagai kain lap tingkap.

“Dia memuat naik aksinya melakukan perbuatan melampau itu di akaun Instagram @maya.maya639 dan mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan pengikutnya.

“Dia juga memuat naik video memaparkannya menghina Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Naib Presiden, Ma’ruf Amin dengan menconteng serta menaburkan cili dan potongan sayuran ke atas gambar kedua-dua pemimpin itu,” katanya sebagaimana dilaporkan Jakarta Post.

Menurutnya, wanita berasal dari Kelurahan Petapahan, Kecamatan Lubuk Pakam, Deli Serdang itu dipercayai sengaja berbuat demikian untuk mendapatkan perhatian dunia.

“Dia mengaku menjalin hubungan dengan lelaki warga Malaysia namun cintanya tidak berbalas dan ditentang keluarga serta semua rakannya,” katanya.