Hospital lapangan COVID-19 pertama Rio de Janeiro mula dibuka

Rio de Janeiro membuka sebuah hospital lapangan pertama khusus untuk menempatkan pesakit COVID-19. – Foto AP Newsroom

RIO DE JENEIRO: Bandaraya Rio de Janeiro,  di Brazil membuka sebuah hospital lapangan pertama di negara itu khusus untuk menempatkan pesakit COVID-19.

Pembinaan hospital sementara berkenaan merupakan kerjasama sektor awam dan swasta dan dibina dalam masa 19 hari.

Turut dinamakan sebagai Hospital Lagoa-Barra, operasi hospital itu dimulakan dengan 30 buah katil pesakit bersama 10 unit penjagaan intensif.

Ia kemudian akan disusuli dengan kemasukan sehingga maksimum 200 buah katil dan 100 unit penjagaan intensif.

Lebih 1,000 petugas perubatan dan kumpulan sokongan ditempatkan di hospital berkenaan.

Walaupun berperanan sebagai hospital sementara, namun, ia turut mensasarkan untuk menerima pesakit yang kritikal selepas dilengkapi dengan kelengkapan penjagaan kompleks dengan 60 mesin respirator, tomography, radiology, ultrasound dan mesin echocardiography.

Selain Hospital Lagoa-Barra, Setiausaha Kesihatan Rio de Janeiro akan menyediakan kira-kira 1,800 buah katil di 8 lagi hospital lapangan yang akan dibina di ibukota itu pada Mei depan.

Setakat ini, Brazil mencatatkan 59,324 kes positif COVID-19 dengan 27,655 orang berjaya pulih dan 4,057 kematian.