Hujan mortar Sungai Chalit

Kluang: Detik pertempuran di Sungai Chalit, Raub, Pahang sentiasa segar dalam ingatan Pegawai Waran 1 (B), Azmi Ab Jalal walaupun kejadian sudah berlalu kira-kira 38 tahun lalu.

Azmi yang berkhidmat dalam Batalion ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Sungai Chalit ketika itu sentiasa terkenang kembali peristiwa yang berlaku pada Februari 1982.

Ia berikutan dia hampir maut apabila peluru daripada senjata Sterling berukuran 9mm menembusi pokok tempatnya berlindung ketika bertempur dengan sekumpulan lima pengganas komunis.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika pasukan Ronda Kumpulan Kecil (RKK) Unit Combat Intelligence Squad (UCIS) diketuainya bertembung dengan pengganas selepas menyeberangi Sungai Chalit untuk menaiki bukit.

“Ketika itu saya berpangkat lans koperal dan baru 10 minit kami mula membuat rondaan apabila dua lagi pasukan RKK berada berhampiran kerana digerakkan serentak untuk menggeledah bukit berkenaan.

“Sebaik anggota peninjau memberikan isyarat terdapat musuh (komunis) di hadapan saya terus mengarahkan anggota berlindung sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tengah Dalam, dekat sini.

Menurutnya, pengganas itu bertempiaran lari dengan meninggalkan barang makanan dipercayai diambil daripada penduduk kampung selepas mereka mungkin ternampak dua lagi kumpulan RKK datang membantu mereka.

“Pemeriksaan kemudian mendapati kumpulan komunis berkenaan lari dengan meredah Sungai Chalit sebelum memasuki hutan belantara berdekatan dan hilang tanpa jejak.

“Akibat pertempuran itu, kami kemudian berjaya menahan dua pengganas komunis yang menyamar sebagai penoreh getah pada keesokannya.

“Pada malam sebelum tangkapan, hutan belantara di Sungai Chalit itu turut dihujani peluru mortar dan tembakan meriam daripada pasukan artileri,” katanya.

Menurutnya, sepanjang perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pelbagai pertempuran diharungi termasuk di Bukit Serdang Libai di Janda Baik.

Katanya, pengalaman yang masih kekal utuh dalam ingatan adalah di Sungai Chalit kerana ia kali pertama berdepan musuh dan hampir menemui maut.

“Saya bernasib baik kerana peluru ‘singgah’ di atas tanah, hanya beberapa inci bersebelahan bahu,” katanya.

Katanya, dia kemudian ditukarkan ke pasukan 9 RAMD yang menjadi batalion pertama dianugerahkan sebagai Pasukan Atur Cepat (Para) sehingga menjawat pangkat Pegawai Waran 1.

“Selepas itu, saya sekali lagi bertukar sebagai jurulatih di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai sebelum bersara pada Mei 1998,” katanya.

Azmi pernah dianugerahkan Pingat Bintara Angkatan Tentera (BAT) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-10, Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, selain menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) selepas bersara.

AZMI dianugerahkan Pingat BAT oleh Yang di-Pertuan Agong ke-10, Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
AZMI dianugerahkan Pingat BAT oleh Yang di-Pertuan Agong ke-10, Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.