‘Ia sebagai tanda kasih, sebak melihatnya’

RAKAMAN anggota polis menasihati sekumpulan kanak-kanak mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tular sejak pagi semalam meruntun perasaan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri berkata, anggota terbabit sudah menjalankan tugasnya dengan baik ketika memberi amaran kepada kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata, tindakannya itu dilihat sebagai satu tanggungjawab yang murni memandangkan kesemua mereka masih kecil dan belum matang selain keadaan mereka yang bersederhana ketika melanggar PKP.

“Itu semua demi kebaikan mereka juga dan pada masa yang sama beliau (anggota) memenuhi nilai insani yang tinggi dengan membeli jualan anak terbabit.

“Saya percaya beliau tidak memerlukannya, tapi hanya sebagai tanda kasih dan simpati, terasa sebak apabila melihat sikapnya yang mulia itu.

“Marilah kita doakan agar Allah memberikan beliau rezeki yang luas,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, semalam.

Mohd Asri berkata, melalui rakaman itu beliau percaya kanak-kanak terbabit tidak menjalani kehidupan yang dikecapi oleh kanak-kanak moden yang lain.

“Kita lihat tersangat sederhana kehidupan yang mereka sedang lalui dengan tanpa kasut di kaki dan pakaian yang amat biasa.

“Mungkin mereka tiada hiburan seperti kebanyakan anak-anak kita dan alam adalah kehidupan mereka.

“Saya percaya Allah memberikan kegembiraan dunia kanak-kanak mereka melebihi sebahagian besar anak-anak orang di bandar dan kegembiraan itu boleh hadir dalam pelbagai rupa,” katanya.

Beliau berkata, peristiwa terbabit bakal menjadi kenangan kepada kanak-kanak berkenaan dan beliau berdoa agar kesemua mereka dikurniakan masa hadapan yang baik.

Terdahulu tular satu rakaman di media sosial berdurasi 2 minit 44 saat menunjukkan sekumpulan kanak-kanak merayu kepada pihak berkuasa agar diberikan peluang kerana mengingkari PKP.

Pada rakaman itu, salah seorang daripada kanak-kanak terbabit dilihat menjual sebakul makanan ringan sebelum kesemuanya dibeli oleh anggota berkuasa berkenaan sebagai tanda belas.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan