Ibu bakar tangan anak

La Paz: Hanya kerana mencuri gula-gula di kedai, seorang ibu di Bolivia bertindak kejam dengan membakar tangan anaknya.

Insiden berlaku di Alto K’ara K’ara bandar Cochabamba itu berpunca apabila dua beradik berusia empat dan enam tahun terbabit mencuri gula-gula di sebuah kedai tempatan.

Selepas mendapat aduan daripada pemilik kedai itu yang menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), wanita berkenaan mengikat tangan anak perempuannya berusia enam tahun sebelum membakar tangan sebagai hukuman.

Berdasarkan laporan, wanita itu juga mahu melakukan tindakan sama terhadap anak perempuan berusia empat tahun namun kanak-kanak itu sempat melarikan diri selepas melihat kakaknya dihukum kejam ibu mereka.

“Ibu berusia 37 tahun itu meletakkan nyawa anaknya dalam risiko.

“Dia mengaku mengikat tangan anaknya sebagai hukuman,” kata Pengarah Pasukan Khas Menentang Keganasan Cochabamba, Ruben Dario Lobaton dalam portal Daily Star.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu mengalami kelecuran tahap dua namun keadaannya stabil.

Dia memerlukan sekurang-kurangnya empat pembedahan bagi memulihkan pergerakan lengan bawah dan tangannya serta rawatan psikologi kerana tragedi itu.

Adiknya pula diletakkan di bawah jagaan pekerja sosial di pusat perlindungan kanak-kanak dan remaja.

Ibu serta bapa tirinya ditahan namun hakim memerintahkan perbicaraan wanita hamil enam bulan itu ditangguhkan sehingga dia bersalin.

Bapa tiri kanak-kanak itu ditahan di penjara, sementara siasatan masih berjalan kerana bersubahat melihat penderaan itu dan tidak bertindak menghentikan perbuatan kejam isterinya.