Ibu, kekasih bunuh anak ke tali gantung

George Town: “Kamu akan digantung di leher sehingga mati,” kata Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini ketika menjatuhkan hukuman terhadap pasangan kekasih yang didapati bersalah membunuh anak wanita itu, enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap R Saravanan, 30, dan T Gayathry, 36, yang didapati bersalah membunuh anak wanita itu di akhir kes pembelaan.

Dalam keputusannya, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.

“Selepas mengambil kira semua bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.

“Kedua-dua tertuduh didakwa atas pertuduhan membunuh yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan. Mahkamah ini perlu menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang.

“Oleh itu mahkamah ini menjatuhkan hukuman gantung mandatori terhadap kamu berdua. Kedua-dua kamu akan digantung di leher sehingga mati,” katanya.

Kedua-dua tertuduh yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tenang namun Gayathry dilihat mengesat air matanya.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa membunuh S Kaviarasan, 5, yang juga anak Gayathry di tepi jalan Ladang Permatang Sera, Bukit Tengah, di sini, kira-kira jam 8 hingga 11.25 pagi, antara 20 hingga 29 September 2014.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.