Igauan ngeri etnik Uighur

Xinjiang: Dipaksa makan daging babi setiap Jumaat antara ‘kewajipan’ setiap tahanan etnik Uighur di pusat tahanan dan kem latihan di wilayah barat, China.

Mendedahkan perkara itu, Sayragul Sautbay berkata, dipaksa makan daging babi adalah mimpi ngeri yang sukar dilupakan sampai sekarang biarpun sudah dua tahun dibebaskan dari pusat tahanan itu.

“Setiap Jumaat, kami dipaksa makan daging babi. Mereka sengaja memilih penghulu segala hari bagi umat Islam.

“Jika kamu menolak, kamu akan menerima hukuman yang teruk.

“Sukar untuk terima dan digambarkan emosi setiap kali saya dipaksa makan daging haram itu,” katanya kepada Al Jazeera.

Wanita itu adalah seorang doktor perubatan dan pendidik yang kini menetap di Sweden, baru-baru ini menerbitkan sebuah buku bagi berkongsi pengalamannya termasuk menyaksikan kekerasan, penderaan seksual dan pemandulan paksa.

Menurut Sautbay, kerajaan Xinjiang juga memulakan inisiatif digelar ‘makanan percuma’ kepada kanak-kanak di tadika dengan memberikan makanan mengandungi babi tanpa pengetahuan mereka.

TUNJUK perasaan orang Uighur yang menetap di Turki menuntut perhatian dunia atas penindasan dan pencabulan hak di Xinjiang. FOTO AFP
TUNJUK perasaan orang Uighur yang menetap di Turki menuntut perhatian dunia atas penindasan dan pencabulan hak di Xinjiang. FOTO AFP

“Usaha berkenaan bagi memastikan kanak-kanak Muslim akan berselera dengan makanan tidak halal itu.

“China akan menggunakan pelbagai taktik untuk memaksa etnik Uighur dan masyarakat Muslim lain memakan babi,” katanya.

Sementara itu, pakar antropologi Jerman Adrian Zenz mendedahkan ada usaha aktif melaksanakan dasar sekularisme untuk menjadikan wilayah Xinjiang sebagai hab penternakan babi.

Katanya, ladang ternakan baharu itu dibangunkan di kawasan selatan Kashgar dengan sasaran ternakan 40,000 babi setiap tahun.

“Ini sebahagian daripada usaha membasmi budaya dan agama orang Islam di Xinjiang.

“Inilah strategi sekularisme untuk mengubah Muslim Uighur,” katanya.