Impian besar tate

DALAM kesuraman sambutan Krismas tahun ini, penyanyi Tate McRae tidak mahu menjadikan situasi pandemik Covid-19 penghalang buatnya meraikan perayaan itu dengan meriah. Bahkan, dia sememangnya sangat ternanti Krismas tahun ini seperti biasa.

Tate, 17, atau nama sebenarnya Tatum Rosner McRae, berkata, sambutan Krismas adalah aktiviti wajib buat seisi keluarganya di kampung halaman di Calgary, Kanada. Apa lagi, tradisi meraikan perayaan itu sangat kuat dalam komuniti di sana.

Tiada lain yang diharapkan setiap kali menyambut perayaan itu selain dapat berkumpul bersama keluarga. Baginya, itu sudah cukup untuk memberikan kegembiraan terutama di saat dunia berdepan musibah kekangan Covid-19.

“Saya sangat teruja untuk menyambut Krismas dan ini adalah waktu cuti yang paling saya gemari. Hakikatnya, saya sudah menantikan sambutan ini sejak September lalu. Di kampung saya, Calgary, Kanada, Krismas adalah segalanya.

“Apa tidaknya, kawasan kami adalah kawasan yang bersalji sekali gus kemeriahan Krismas itu lebih terasa. Kami memang akan siap sedia menyiapkan dekorasi dan menyambut kedatang sanak saudara lain.

“Biasanya, datuk serta bapa saudara saya memang akan bertandang untuk menyertai sambutan kecil-kecilan di rumah kami. Namun begitu, suasananya memang sangat seronok dan saya sangat-sangat sukakan Krismas,” katanya.

Penyanyi You Broke Me First dalam temu bual bersama Harian Metro berkata, sambutan bersama keluarga adalah yang paling penting dan tidak perlu berleihan. Dia percaya sambutan dibuat mereka juga sama dengan semua yang meraikan di seluruh dunia.

“Krismas adalah tradisi seperti perayaan lain juga. Biasanya, kami akan berkumpul sekeluarga, bermain pelbagai permainan, makan malam bersama, seterusnya bertukar-tukar hadiah,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya muziknya, Tate memikat dunia dengan karya luar biasanya selain nyanyian yang begitu unik sepanjang tahun ini. Meskipun baru setahun jagung dalam industri, dia berjaya meninggalkan impak tersendiri.

Lebih membanggakan, dia turut menjadi artis atau pemuzik termuda tersenarai dalam pengiktirafan terbesar Forbes 30 Under 30. Menurutnya, pencapaian itu benar-benar membuatkan dirinya merasa satu kebanggaan yang luar biasa.

“Terus-terang, ia satu penghormatan untuk tersenarai dalam pengiktirafan yang sememangnya saya sendiri ikuti sejak dulu. Berada dalam kategori itu bersama artis dan pemuzik hebat lain, paling muda pula, saya sangat bangga.

“Memang sangat banyak lagi perkara lain yang lebih menarik berlaku dalam industri muzik. Bagaimanapun, saya harus akui sangat berbangga dengan pencapaian yang satu ini kerana ia memang mengagumkan,” katanya.

Di samping pencapaian itu, semestinya keberkesanan muziknya untuk diterima ramai paling menjadi perkara dibanggakan. Apa lagi, namanya kini semakin menjadi ikutan peminat seluruh dunia, Tate tidak pernah menjangkakan akan pergi sejauh itu.

TERUJA untuk menyambut Krismas.
TERUJA untuk menyambut Krismas.

“Saya sememangnya tidak pernah sangka akan berada di tahap sekarang. Sewaktu melancarkan lagu you got me first misalnya, saya cuma terfikir untuk berkongsi lagu itu tanpa menjangkakan ia akan dikenali seluruh dunia serta rancak dimainkan di radio,” katanya.

Tetap nak tamatkan persekolahan

Walaupun muzik kini menjadi fokusnya untuk dijadikan karier, Tate bagaimanapun mengakui masih mementingkan akademik. Dia yang masih bersekolah turut mengakui berdepan cabaran dalam menyeimbangkan dua perkara itu.

Namun begitu, dia anggap cabaran itu sebagai perkara normal. Baginya, dia tidak mahu mengenepikan soal pelajaran terus hanya gara-gara kini melihat laluannya terbuka besar untuk menjadi artis.

“Pelajaran semestinya akan sentiasa menjadi keutamaan dan adalah sangat penting untuk pergi ke sekolah. Saya mahu terus belajar setiap hari dan paling penting kena tamatkan persekolahan.

“Memanglah ia sedikit sukar terutama kini saya juga memfokuskan kepada karier muzik yang sememangnya paling diminati. Dengan kesibukan dengan pelbagai rencana muzik, saya harap akan habis juga pengajian tidak lama lagi,” katanya.

Sebagai artis baharu, semestinya Tate juga menyimpan cita-cita mahu bekerjasama dengan ramai artis tersohor lain bagi mengembangkan kariernya.

Berkongsi perkara itu, dia mengakui teringin menghasilkan lagu bersama penyanyi rap terkenal Post Malone suatu hari nanti. Dia mengakui, Post Malone tidak pernah membosankan dirinya.

“Saya nak sangat bekerjasama dengannya dan semestinya ia sesuatu yang sangat menyeronokkan. Terus-terang, dia adalah artis kegemaran saya sejak dulu lagi dan tidak pernah berasa bosan mendengarnya.

“Agak pelik jugalah disebabkan dalam tempoh itu, saya sebenarnya banyak meminati artis lain juga. Namun begitu, hati saya tetap rasakan dia artis yang begitu mengagumkan dan terus berjaya. Ya, bercakap mengenai setia pada yang satu,” katanya.

Demi terus menjadi artis yang berkualiti, Tate juga berjanji mahu mengekalkan keaslian dirinya dalam berkarya. Baginya, amat penting untuk tampil dengan kejujuran jika mahu menonjol daripada artis lain.

“Artis atau pemuzik bagus bagi saya adalah seseorang yang sentiasa jujur dan jadi diri-sendiri. Memang banyak lagu dan penyanyi bagus lain namun apa yang membezakan adalah keaslian mereka.

“Sangat penting apabila artis berkarya dengan lirik yang bersifat peribadi dan berjaya menulis mengenai cerita sendiri. Itulah yang akan membuatkan artis mahupun lagu mereka lebih istimewa,” katanya.