Impian nombor 1

KUALA LUMPUR: Saham pemain muda negara dijangka terus melonjak apabila seorang lagi pemain bakal dipasarkan di Eropah, sekali gus mengikut jejak penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin.

Namun kali ini, tonggak yang akan dieksport bukan penyerang, pertahanan mahupun pemain tengah sebaliknya penjaga gol muda yang memiliki potensi besar untuk beraksi bersama kelab Eropah.

Menurut sumber, pihaknya tidak boleh mendedahkan nama pemain berkenaan kerana mahu menghormati permintaan beberapa pihak yang enggan butirannya didedahkan.

Malah, rundingan dengan kelab utama yang beraksi dalam salah satu liga terbaik dunia itu rancak membabitkan tiga pasukan.

“Liga ini adalah dalam negara yang pernah menjuarai Piala Dunia beberapa kali. Jadi sudah tentu prestij liga negara terbabit cukup tinggi dan satu penghormatan sekiranya ada pemain Malaysia yang berjaya meraih kontrak profesional.

“Tapi semua di peringkat perbincangan dan kita tak boleh dedahkan siapa pemain itu. Cuma dia penjaga gol dan sekarang beraksi dalam Liga Malaysia.

“Kami juga tengah berusaha untuk memastikan impian pemain ke Eropah menjadi kenyataan. Bila tiba masanya kita akan umum secara rasmi,” kata sumber kepada Arena Metro, semalam.

Pada penghujung tahun lalu, Arena Metro tampil mendedahkan buat pertama kali kejayaan Luqman yang mengikat kontrak dengan kelab Belgium, KV Kortrijk (KVK).

Selepas menanti hampir setahun akhirnya pada bulan lalu menyaksikan Luqman diikat secara rasmi dengan kontrak profesional lima tahun sekali gus muncul pemain tempatan pertama beraksi dalam liga utama Eropah.

Penyerang skuad bawah 19 tahun (B-19) negara itu tidak menunggu lama untuk mencipta sensasi di Eropah apabila dia mencetak gol pertama minggu lalu selepas diturunkan dalam skuad B-21 KVK tetapi tewas 1-4 kepada KRC Gent dalam aksi persahabatan itu.