India berjaya turunkan kadar pencemaran udara, langit biru kini boleh dilihat di New Delhi

Langit membiru di New Delhi dianggap sebagai suatu yang luar biasa memandangkan sudah saban tahun kota itu menjadi antara kota paling tinggi pencemaran udaranya. – Reuters

LANJUTAN perintah berkurung atau lockdown di India bukan sahaja berjaya menurunkan kadar jangkitan COVID-19, malah ia turut menurunkan kadar pencemaran udara di negara itu.

Perintah lockdown sehingga 3 Mei depan menyaksikan penutupan sekolah, pejabat, industri perkilangan dan penutupan perkhidmatan awam memaksa kira-kira 1.3 bilion rakyat negara itu kekal duduk di rumah.

Susulan itu, langit biru kini boleh dilihat di New Delhi.

Menurut data pencemaran udara oleh Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih, sejak hari pertama perintah lockdown dikuatkuasakan, purata pencemaran udara menurun 22 peratus dan purata nitrogen dioksida juga menurun 15 peratus.

Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Sains dan Alam Sekitar New Delhi, Anumita Roy, keadaan ini merupakan perkembangan luar biasa buat India memandangkan negara itu adalah antara 10 negara dengan pencemaran udara tertinggi pada 2019.

"Ini merupakan perkara luar biasa. Oleh kerana keadaan kecemasan ini, semua terpaksa ditutup. Kilang-kilang juga ditutup. Tiada sebarang kerja pembinaan diteruskan.

"Dan disebabkan orang ramai tidak keluar rumah, tiada kenderaan di jalan raya. Dan secara semula jadi, kadar pencemaran udara menurun secara mendadak," jelasnya. 

BACA: Selepas 30 tahun, pergunungan Himalaya akhirnya dapat dilihat dengan jelas

BACA: Kerajaan India umum lanjutan 'lockdown' sehingga 3 Mei 2020

Perkembangan positif ini bukan hanya direkodkan bagi keadaan udara di negara itu, malah pencemaran sungai juga berjaya dikawal.

Berdasarkan data terbaharu oleh Lembaga Kawalan Pencemaran New Delhi, sungai terpanjang di India, Sungai Ganges dilaporkan semakin jernih.

Ia selepas sekurang-kurangnya 28 kilang menurunkan kadar sisa pembuangan ke dalam sungai.

BACA: Pencemaran udara Delhi sudah cecah paras terburuk

Bagaimanapun, menurut aktivis alam sekitar, Vimlendu Jha, perkembangan positif ini mungkin tidak akan kekal lama terutamanya selepas perintah lockdown ditarik semula.

"Ini adalah buat sementara waktu sahaja. Ini kerana perkembangan asas ekonomi negara ini adalah punca pencemaran sungai dan pencemaran udara berlaku di negara ini.

"Tetapi pada masa sama, sebagai penggubal dasar, sebagai kerajaan, mereka perlu meneliti perkembangan ini untuk diteruskan dalam jangka masa panjang.

"Pada masa sama penilaian, mengapa beberapa minggu perintah lockdown, perkembangan ini dapat dicapai?," ujarnya. 

Setakat ini, India mencatatkan hampir 20,000 kes positif COVID-19 dengan 640 kematian.

BACA: COVID-19: 69 peratus pesakit di India tiada simptom