Info sulit bocor?

“MAKLUMAT seperti nombor kad pengenalan, nama penuh dan alamat rumah adalah data sensitif pengguna.

“Ia tidak sepatutnya disiarkan kepada umum terutama membabitkan laman web yang boleh dilayari semua orang,” kata Pakar Keselamatan Siber Fong Choong Fook berhubung sebuah laman yang memaparkan maklumat sensitif individu yang pernah mendapatkan ujian saringan Covid-19.

Fong berkata, maklumat sensitif berkenaan perlu dijaga memandangkan ia memaparkan butiran penting, malah alamat penuh individu.

“Apa saja boleh berlaku dalam dunia siber hari ini. Dengan nombor kad pengenalan saja, sebarang tindakan boleh diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya yakin semua individu atau pesakit yang disyaki tidak mahu nama mereka, nombor kad pengenalan mereka atau alamat penuh kediaman disiarkan dalam medium umum seperti ini. Ia isu keselamatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, agensi berkaitan seharusnya melihat perkara ini dengan lebih serius kerana menerusi pautan alamat (URL) berkenaan memaparkan nama MKN atau Majlis Keselamatan Negara.

Menurutnya, ia satu tindakan yang serius jika laman web berkenaan dikendalikan oleh pihak ketiga serta memperoleh butiran pesakit kerana dibimbangi dibocorkan kepada pihak lain untuk tujuan tertentu.

Wartawan sempat melihat laman web berkenaan dan jelas ia menunjukkan data pesakit seperti nombor kad pengenalan, nama penuh, alamat dan status sama ada individu berkenaan positif atau negatif ujian Covid-19.

Bagaimanapun laman web itu sudah disekat petang semalam.

Semakan wartawan terhadap pencipta laman web berkenaan menjumpai ia dibina oleh sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor.

Wartawan cuba menghubungi syarikat berkenaan untuk mendapatkan penjelasan namun gagal termasuk tiada jawapan balas dalam kiriman e-mel.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19