Ingat ajal dah sampai

“KAMI hanya mampu mengucap dan terfikir akan habis nyawa hari ini (kelmarin) sebab mungkin akan meninggal dunia jika gajah itu naik atas bumbung kereta.”

Begitu kata pemandu Perodua Axia, Muhammad Danial Khasim, 21, apabila kereta dinaikinya bersama dua penumpang rosak akibat dirempuh gajah yang mengamuk, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam di Kilometer 63 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, ketika dia bersama Azmi Lebai Ishak, 76, dan anak Azmi, Muhamad Nasrullah, 17, dalam perjalanan pulang ke Jitra, Kedah.

Muhammad Danial berkata, mereka bertolak dari Jeli, Kelantan pada jam 6.30 petang selepas selesai majlis akad nikah sebelum singgah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa.

Menurutnya, sebaik selesai menunaikan solat, mereka bergerak dari R&R berkenaan, tetapi berlaku kesesakan lalu lintas di hadapan.

“Kami mendapati rupa-rupanya ada gajah mengamuk dan pemandu kenderaan lain berpatah balik sambil menyalakan lampu tinggi dan membunyikan hon.

“Gajah itu tiba-tiba nampak lampu kereta kami lalu ia terus datang serang dan saya pula tidak sempat menutup lampu. Haiwan itu turut melanggar bonet kereta menyebabkan lampu dalam kereta menyala.

“Haiwan itu pergi ke bahagian pemandu dan saya lihat kakinya menutup cermin sebelum gajah itu bergerak ke bahagian penumpang depan pula dan perutnya berada di atas bumbung kereta,” katanya ketika dihubungi, semalam.

ORANG ramai hanya mampu melihat gajah mengamuk  menyerang kereta Perodua Axia di JRTB, Gerik, kelmarin. FOTO Ihsan pembaca
ORANG ramai hanya mampu melihat gajah mengamuk menyerang kereta Perodua Axia di JRTB, Gerik, kelmarin. FOTO Ihsan pembaca

Menurutnya, dia membuka pintu pemandu untuk keluar menyelamatkan diri dan Azmi juga keluar mengikut laluan sama manakala anaknya keluar mengikut pintu penumpang belakang.

Katanya, mereka hanya memikirkan keselamatan diri dan meninggalkan kereta di bahu kiri jalan berkenaan.

“Kami kemudian datang semula ke lokasi kira-kira jam 11 malam (kelmarin) dengan trak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan mendapati kereta sudah berada di bahu kanan jalan.

“Ketika mahu mengambil barang hantaran seperti kek, bunga telur dan beg dalam kereta, ia mungkin diselongkar gajah itu kerana kek seperti ada kesan dimakan.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu kerana memang tak tahu nak buat apa kalau gajah besar itu naik atas bumbung kereta,” katanya.

Berita berkaitan

• Jangan bunyi hon jika terserempak gajah: PERHILITAN

• Gajah mengamuk pijak kereta [METROTV]