Ingkar PKP: Ahli Majlis MBSA ditahan main badminton [METROTV]

EMPAT individu termasuk seorang Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang didapati bermain badminton di Dewan MBSA di Seksyen 25, Shah Alam, awal pagi tadi sudah ditahan polis.

Jurucakap khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, ahli majlis berkenaan serta tiga rakan itu ditahan pagi tadi dan kini menunggu perintah reman untuk didakwa kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita sudah mengambil tindakan, yang mana empat subjek sudah ditangkap pagi tadi dan kita masih menunggu reman sebelum mendakwa keempat-empat individu itu mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020).

“Salah seorang daripada empat individu berkenaan adalah Ahli Majlis MBSA yang dilantik atas kapasiti politik.

“Difahamkan siasatan serta tindakan dalaman juga akan diambil oleh Datuk Bandar MBSA,” katanya pada sidang media Ops Covid-19 Selangor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Sementara itu, MBSA menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan ahli majlis berkenaan adalah satu pencerobohan kerana sepanjang PKP dikuatkuasakan, dewan ditutup dan tidak sebarang aktiviti sukan atau riadah tidak dibenarkan.

“Kami merasa dukacita terhadap insiden ini dan susulan itu satu surat memohon penjelasan sudah diberikan kepada ahli majlis berkenaan serta satu laporan disediakan kepada pihak kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya kerana kedudukan ahli majlis dalam sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah lantikan kerajaan negeri.

“Kita menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap individu berkenaan malah MBSA juga ingin memaklumkan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, organisasi atau kumpulan termasuk penjawat awam yang melakukan kesalahan sepanjang PKP ini dikuatkuasakan,” katanya.

Terdahulu, tindakan tidak bertanggungjawab ahli majlis bersama tiga rakannya bermain badminton di Dewan MBSA di Seksyen 25 awal pagi semalam tular di Facebook (FB) komuniti warga Shah Alam.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di FB difahamkan pasukan dari Unit Pantas MBSA menerima laporan sekitar 1 pagi mengenai aktiviti di dewan berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapat terdapat empat lelaki termasuk seorang ahli majlis sedang bermain badminton.

Menurut perkongsian itu, sebuah kereta peronda polis dan dua anggota turut tiba di lokasi ekoran mendapat aduan yang sama.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan