Ingkar PKP kompaun RM1,000 [METROTV]

POLIS Diraja Malaysia menguatkuasakan tindakan kompaun RM1,000 terhadap mereka yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan kompaun itu dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324).

Katanya, tindakan pengeluaran kompaun kepada pesalah PKP akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kami sudah menerima SOP dan arahan untuk melaksanakan kompaun itu akan dimulakan hari ini.

“Borang kompaun juga sudah diterima dan diedarkan ke semua kontinjen polis negeri sejak minggu lalu.

“Mereka yang didapati ingkar arahan PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran perlu diselesaikan di Pejabat Kementerian Kesihatan dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan.

“Jika pesalah enggan membayar kompaun berkenaan, mereka boleh meminta untuk dibicarakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, kadar jenayah indeks bagi tempoh 18 Mac lalu sehingga semalam menunjukkan penurunan sebanyak 67 peratus.

“Berdasarkan jumlah kes direkodkan terdahulu, terdapat 350 indeks kes diterima dalam tempoh sehari dan jumlah itu menurun kepada 116 kes sehari bagi tempoh 18 Mac lalu sehingga semalam.

“Penurunan itu kerana faktor orang ramai berada di kediaman masing-masing sekali gus menyebabkan ruang, peluang, sasaran dan kemahuan untuk kes jenayah berlaku semakin berkurangan.

“Ia juga ditambah dengan pelaksanaan lebih 700 sekatan jalan raya di seluruh negara yang memudahkan maklumat disalurkan dan menyukarkan pergerakan penjenayah,” katanya.

ACRYL SANI ABDULLAH SANI
ACRYL SANI ABDULLAH SANI

Mengulas mengenai pelaksanaan PKP, Acryl Sani berkata, terdapat insiden berkaitan rempuhan di sekatan jalan raya yang berlaku di beberapa lokasi baru-baru ini adalah disebabkan perkara yang tidak disengajakan.

“Ada satu kes membabitkan pemandu yang mengantuk dan tidak sedar ada sekatan jalan raya di laluan berkenaan manakala satu lagi kes pula, pemandu terbabit terleka kerana menggunakan telefon bimbit.

“Disebabkan itu, anggota bertugas di sekatan jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan menilai semula lokasi sekatan supaya ia mudah dilihat orang ramai dari jauh,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19