‘Ini adalah palsu’ – Dr Noor Hisham

SATU laman web dipercayai palsu memaparkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

Ia turut memaparkan nama sebagai COO syarikat itu menggunakan nama Aidan Razif di bawah gambar Dr Noor Hisham.

Laman web yang didakwa dimiliki sebuah syarikat perlombongan itu turut memaparkan beberapa lagi gambar individu dipercayai untuk menjerat mangsa kononnya untuk membuat pelaburan.

Dr Noor Hisham menerusi hantaran di laman akaun Facebook rasminya menafikan perkara itu.

“Untuk makluman umum, Syarikat Kashi Mining ada menggunakan gambar saya dalam ‘website’ mereka sebagai COO! Jelas ini adalah palsu,”katanya.

Harian Metro mendapati, laman web itu sudah disenaraikan sebagai ‘scammer’ sejak tahun lalu.

Pemeriksaan menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mendapati tiada syarikat seperti nama itu didaftarkan.