‘Ini bukan lagi kerjaya kotor’ [METROTV]

Petik buah di Australia lebih baik daripada petik kelapa sawit di negara sendiri?

Atau gaji sebagai pemetik buah di negara luar lebih mahal berbanding petik kelapa sawit di ladang tempatan.

Banyak punca semua ini berlaku dan ladang kelapa sawit tempatan juga menyediakan banyak faedah kepada belia. Persoalannya mahu atau tidak?

Bagi mengulas isu ini, ikuti wawancara Pengerusi Koperasi Ladang Berhad MOHD DAMANHURI MOHD JAMLI dengan wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN dan juruvideo MUHAMAD ALLYME AHMAD IZAM.

Faktor dorong rakyat tempatan bekerja ladang di Australia namun tidak di sini?

Mungkin ada beranggapan bekerja di negara luar, pendapatan mereka lebih tinggi, kononnya gaji di negara itu lebih baik berbanding Malaysia.

Ia persepsi tidak tepat. Persoalan mengapa ramai rakyat kita mahu bekerja ladang

di negara luar kerana mereka mendapat pulangan lebih daripada aspek nisbah tukaran mata wang.

Jika mereka hidup di negara itu, kadarnya sama dengan negara kita. Maksudnya di sini, taraf hidup di negara berkenaan tinggi, barang mahal jadi sama seperti bekerja di negara sendiri.

Apa yang membezakan aspek tukaran mata wang saja. Cuba kita tanya kenapa pekerja Indonesia mahu bekerja di sektor peladangan di negara kita, adakah negara mereka tiada ladang?

Pastinya jawapan sama iaitu mereka mahu bekerja di negara ini kerana nisbah tukaran wang lebih tinggi berbanding negara asal. Itu saja yang membezakan.

Sama juga kita tanya, ramai tak rakyat Australia memilih bekerja ladang berbanding pekerjaan lain, jawapannya masih sama iaitu mereka memilih kerja lain dan sektor ladang dipenuhi warga asing.

Situasi ini berlaku di mana-mana negara dan golongan belia mengubah persepsi mereka kerana sektor perladangan menjanjikan pendapatan tinggi jika usaha keras.

Inilah realiti dan persepsi yang wajar diubah, jangan hanya kita lihat pada keuntungan tukaran wang saja, tetapi perlu diambil kira taraf ekonomi negara itu, taraf hidup dan sebagainya.

Ada belia beranggapan bekerja di ladang tidak popular, kotor, berlumpur dan berpeluh.

Jika segelintir belia ini hanya melihat kepada kerjaya popular, ia salah. Persoalan wajar dijawab adalah adakah pekerjaan popular itu menjanjikan pulangan pendapatan tinggi?

Jika bekerja di pejabat sekalipun namun pendapatan masih rendah, tiada makna juga.

Malah, saya melihat realitinya, ada golongan muda menceburi sektor perladangan memiliki pendapatan lebih tinggi berbanding rakan mereka yang bekerja di pejabat.

Kita katakan kerjaya kotor berlumur, tidak keseluruhannya betul kerana kebanyakan ladang besar hari ini menggunakan peralatan mekanisasi canggih.

Satu masa dulu, pekerja ladang kelapa sawit membanting tulang mengangkat buah sawit ke dalam lori.

Hari ini, kita sudah ada jentera grabber yang mengambil buah sawit untuk dimasukkan ke dalam lori.

Pekerja ladang hari ini juga bukan terdiri daripada buruh tidak mahir sebaliknya berubah kepada separuh mahir sehingga kepada berkemahiran tinggi melalui penggunaan pelbagai peralatan canggih.

Contoh, jika kita lihat negara di Eropah melaksanakan industri perladangan, mereka bergantung kepada jentera dan ia membantu produktiviti.

UNTUK membawa masuk seorang pekerja asing, pengusaha ladang perlu ada RM3,200 untuk satu kepala.
UNTUK membawa masuk seorang pekerja asing, pengusaha ladang perlu ada RM3,200 untuk satu kepala.

Lama kelamaan, segmen industri perladangan ini memerlukan tenaga kerja mahir untuk pengendalian semua mesin berkenaan.

Contoh modenisasi yang sudah dilaksanakan oleh Koperasi Ladang Berhad?

Alhamdulillah, kita ada beberapa dron dan jentera lain untuk melaksanakan tugas khusus dan ia sangat efektif.

Dulu, kita membuat perolehan beberapa dron dengan nilai pelaburan RM300,000 dan hasilnya sangat baik.

Contoh, semburan racun di tapak semaian kelapa sawit berkeluasan dua hektar dengan menggunakan dron hanya mengambil masa lima minit.

Berbanding tenaga buruh, keluasan dua hektar itu memerlukan tempoh dua hari untuk seorang pekerja melakukannya sedangkan dalam industri perladangan, kita ada jadual proses penjagaan tanaman yang ketat.

Perolehan dron ini membabitkan pelaburan besar namun ia berbaloi untuk keluasan ladang besar dan jika ladang kecil-kecilan, ia tidak berbaloi.

Alat bantuan meningkatkan produktiviti, malah dron ini boleh digunakan untuk menjalankan pemetaan menggunakan perisian di komputer. Kaedah ini meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos operasi.

Saya sebut produktiviti kerana dalam industri ladang, peningkatan produktiviti bermakna peningkatan hasil yang akan meningkatkan pendapatan pekerja.

Kita tidak boleh buat skim gaji sama dengan bekerja di pejabat. Sistem pendapatan kita lebih banyak produktiviti, lebih tinggi pendapatan.

Ada kemungkinan pengusaha ladang besar suka mendapatkan pekerja asing untuk mengelak membayar faedah kepada pekerja?

Jika ia berlaku, saya boleh katakan pengusaha itu tidak bertanggungjawab.

Ini kerana untuk mendapatkan pekerja asing, kos perolehan kita akan berganda.

Sebab apa saya kata berganda, untuk membawa masuk seorang pekerja asing, kita perlu ada RM3,200 untuk satu kepala, bayaran tahunan RM1,400 untuk pembayaran levi dan sebagainya.

Adakah kita boleh bayar sesuka hati? Jawapannya sudah pasti tidak. Ini kerana pembayaran gaji minimum akan terpakai untuk pekerja asing.

Contoh, minimum pada masa ini ialah RM1,100 sebulan turut terpakai kepada pekerja asing.

Ini kerana undang-undang ini tidak membezakan pekerja tempatan atau pekerja asing.

Ia sama saja, malah kita perlu bayar lebih kos tahunan jika membabitkan pekerja asing.

Jumlah pekerja di ladang kelapa sawit koperasi di seluruh negara serta kemudahan termasuk manfaat yang diberikan?

Untuk makluman, keluasan ladang kami berjumlah 2,500 hektar dengan 226 pekerja terdiri daripada 151 pekerja asing dan 75 pekerja tempatan.

Jika keperluan pekerja dikira berpandukan kepada formula nisbah keluasan ladang, kami masih kekurangan 82 pekerja.

Daripada segi kemudahan dan manfaat, kami mempraktikkan amalan standard perladangan seperti syarikat perladangan milik swasta atau syarikat berkaitan kerajaan.

Kemudahan ditawarkan seperti kediaman, bekalan air, elektrik, pengangkutan bas sekolah, fi tuisyen, malah menerusi program kebajikan koperasi juga, kita berikan wang saguhati ketika perayaan, pembelian set sekolah termasuk uniform dan jika ada yang berhenti, kita bayar gratuiti.

Semua ini berpandukan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 dan ia merangkumi pembayaran oleh majikan kepada pekerja.

Untuk Koperasi Ladang Berhad, kita mengusahakan sawit, durian, kelapa, ternakan lembu, burung walid dan padi.

Kita ada dua ladang sawit iaitu di Johor serta Negeri Sembilan, kini kita sedang melakukan perolehan ladang sawit baharu di Kelantan.