Ini bukan pesta air! [METROTV]

Kota Tinggi: Pusat bandar Kota Tinggi lumpuh sepenuhnya berikutan ditenggelami banjir sehingga hampir dua meter, sejak Sabtu lalu, dengan hampir semua jalan masuk ditutup.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique, menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan tidak menjadikan ia sebagai pesta air.

Halimah yang juga Menteri Perpaduan Negara berkata, tinjauan dilakukannya di sekitar pusat bandar itu mendapati penduduk dilihat berpusu-pusu ke pusat bandar bagi melihat limpahan air banjir yang menenggelamkan hampir keseluruhan bandar itu, seolah-olah ia adalah pesta air.

“Nasihat saya, banjir di Kota Tinggi ini bukan air biasa, arusnya sangat deras apatah lagi pada sebelah malam, jadi saya nasihatkan penduduk jangan jadikan ia sebagai pesta.

“Namun tinjauan saya mendapati ramai berkumpul melihat banjir naik di pusat bandar termasuk menaiki kereta dan motosikal.

“Keselamatan nyawa harus dijaga. Semalam contohnya, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail sudah mengarahkan semua penduduk yang terjejas banjir berpindah, namun masih ada berdegil tidak berpindah sehingga paras air semakin tinggi hari ini,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsan (SK) Laksamana, di sini, hari ini.

Selepas 15 tahun dilanda banjir besar pada 2006, pusat bandar ini sekali lagi ditenggelami banjir besar apabila air Sungai Johor melimpah sejak Sabtu lalu.

Antara yang tenggelam akibat banjir kali ini adalah Surau Umar Ibnu Al Khattab, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Tinggi, Pejabat Parol Kota Tinggi selain stesen bas di pusat bandar.

Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi hari ini merekodkan kenaikan mendadak kepada 2,661 mangsa daripada 665 keluarga di 24 PPS petang ini, berbanding 2,029 daripada 514 keluarga, pada tengah hari.

Sementara itu, Halimah berkata, bekalan makanan dan keperluan penduduk di daerah itu masih mencukupi walaupun pusat bandar lumpuh dengan hampir semua pusat perniagaan ditutup sejak Sabtu lalu.

Katanya, terdapat beberapa lagi pasar raya besar di daerah ini yang berada di kawasan tidak terjejas dengan bekalan makanan dan keperluan masih mencukupi buat penduduk.

ORANG ramai cuba menarik dua kenderaan tersangkut dalam air selepas meredah banjir di Jalan Tun Habab, Kota Tinggi. FOTO ZAIN AHMED
ORANG ramai cuba menarik dua kenderaan tersangkut dalam air selepas meredah banjir di Jalan Tun Habab, Kota Tinggi. FOTO ZAIN AHMED

“Pusat bandar Kota Tinggi memang lumpuh dengan hampir semua laluan memasukinya sudah ditutup, namun masih ada laluan pintas dari Johor Bahru ke daerah ini yang tidak ditenggelami banjir.

“Mungkin ada kawasan kampung tertentu terputus terus laluan perhubungan dan penduduk tidak boleh keluar mendapatkan bekalan, namun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sudah membuat persiapan bagi menyalurkan bantuan di kawasan itu, ” katanya.