‘Ini kali terakhir saya mahu tengok wajah abang’

“BIARLAH kita sama-sama ke lapangan terbang kerana ini kali terakhir saya mahu tengok wajah abang,” demikian permintaan Allahyarham Dayana Damsah, 27, kepada suaminya, Nurhan Ayub, 27, sebelum menghantarnya ke Lapangan Terbang Tawau, pada petang Selasa.

Nurhan yang juga jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas di Kemaman Terengganu, berkata dia menghabiskan cuti selama dua minggu di Tawau selepas majlis perkahwinannya (sebelah pihak lelaki) pada 1 Ogos lalu dan sempat membawa isterinya itu bercuti di pulau peranginan di Semporna.

Katanya, walaupun ia hanya percutian singkat tetapi ia amat bermakna bagi mereka selepas sah bergelar suami isteri dan Dayana sangat gembira kerana dapat menghabiskan cuti bersama.

“Pada malam sebelum bertolak pulang, saya dapat merasakan isteri seolah-olah berat hati mahu melepaskan saya balik semula ke Terengganu.

“Ketika itu arwah sedikit beremosi dan saya sempat berpesan kepadanya supaya tidak perlu bimbang,” katanya ketika ditemui di kediaman mentuanya di Kampung Pasir Putih, Tawau, hari ini.

Bercerita lanjut, Nurhan berkata, mereka juga sudah merancang untuk berbulan madu di Terengganu menjelang cuti persekolahan penghujung bulan ini.

Katanya, dia sudah membeli tiket penerbangan ke Terengganu pada 20 hingga 24 Ogos ini dan arwah isterinya itu teruja dan tidak sabar menunggu tarikh berkenaan.

“Bagaimanapun pada pagi kejadian, isteri ada menghantar mesej melalui applikasi WhatsApp meminta izin untuk ke sekolah.

“Dia beritahu mahu jadi isteri solehah dan sebab itu setiap perkara kena minta izin suami, takut nanti jadi apa-apa.

“Arwah juga sempat menghantar gambar selfie pagi itu sebelum bertolak ke sekolah dan itulah gambar terakhirnya,” katanya.

Dalam kemalangan jam 6 pagi Selasa, kereta dinaiki Dayana yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Umas-Umas (SK Umas-Umas) hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke tebing sungai di Kampung Kijang, berhampiran Jambatan Merotai Besar.

Kemalangan itu turut mengorbankan rakan setugasnya, Nurizyani [email protected], 24, yang meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tawau manakala pemandu kereta, Hasnaini Paiori, 38, dan Nur Zairah Aladin, 35, dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Berita berkaitan:

  • Dua guru maut, dua parah