Ini kes luar negara lah…

MAKLUM balas diterima Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) mengesahkan kejadian seekor anjing yang diwarnakan menyerupai harimau berlaku di luar negara.

Presidennya Arie Dwi Andika berkata, pihaknya menerima ratusan maklum balas daripada warganet sebaik PHM memuat naik hantaran itu di Facebook dengan menawarkan ganjaran hadiah kepada individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian anjing dianiaya itu.

“Kami dimaklumkan mungkin kejadian berlaku di Vietnam, Filipina atau Venezuela.

“Tujuan kami tularkan kes berkenaan supaya persatuan mendapat maklumat sahih mengenai penganiayaan haiwan berlaku dalam negara ini,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, walaupun dimaklumkan kes berkenaan berlaku di luar negara, pihaknya tidak menerima maklumat itu begitu saja.

“PHM tidak boleh terima maklumat ini bulat-bulat selagi tiada fakta asas yang kukuh mengenai kejadian,” katanya.

Katanya, ratusan maklum balas diterima daripada netizen mengatakan kejadian berlaku di pelbagai lokasi.

“Kita sangat berharap kejadian ini tidak berlaku dalam negara,” katanya.

Arie turut menasihati seluruh rakyat Malaysia supaya menjadikan insiden itu sebagai contoh kezaliman haiwan dan tidak dilakukan dalam negara memandangkan perbuatan itu bertentangan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Semalam, PHM menawarkan ganjaran hadiah kepada pemberi maklumat berhubung tindakan pihak tertentu mewarnakan anjing menyerupai harimau.

Dalam satu hantaran di Facebook, persatuan itu turut berkongsi gambar anjing berkenaan, bagaimanapun tidak dapat dipastikan tempat dan masa kejadian.

“Bantu Animal Malaysia cari tahu lokasi di mana dan milik siapa?” tulisnya.