Ini peluang kedua Allah beri – Azizan

Kuala Lumpur: “Saya dah give up (putus asa) dan hanya ingat mati saja. Waktu itu saya fikir kalaulah Allah beri saya hidup semula, mesti Allah hendak saya buat sesuatu dan kerja lebih keras untuk menyumbang kepada orang lain,” kata penceramah motivasi Datuk Dr Azizan Osman.

Azizan memberi reaksi itu ketika berkongsi penderitaan dialami apabila diuji positif Covid-19 yang turut menjangkiti 31 ahli keluarganya, selain meragut nyawa ibu mentuanya.

Menceritakan ujian berganda dilaluinya itu, Azizan berkata, dia disahkan positif Covid-19 pada 7 Januari lalu selepas menjadi kontak rapat kepada seorang individu sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh 14 Januari lalu.

“Saya dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri selama seminggu di rumah dan jika sesak nafas perlu segera ke kecemasan.

“Dalam tempoh itu, badan saya sangat lemah, malah pada Selasa (12 Januari) doktor saya memberitahu tahap oksigen saya sudah mula menurun dan atas nasihatnya saya ke hospital pada petang Khamis selepas oksigen saya menurun di bawah paras 90 peratus.

“Saya terus dimasukkan ke ICU selepas pemeriksaan mendapati paru-paru saya sudah diserang dan berair,” katanya kepada Harian Metro.

Antara ubat yang perlu dimakan Azizan ketika dalam rawatan Covid-19. FOTO Datuk Dr Azizan Osman
Antara ubat yang perlu dimakan Azizan ketika dalam rawatan Covid-19. FOTO Datuk Dr Azizan Osman

Dr Azizan berkata, keadaannya ketika itu sangat kritikal apabila sukar bernafas dan doktor meramalkan peluangnya sangat tipis.

“Sebenarnya saya dah give up, semangat dah tak ada dan hanya ingat mati saja waktu itu, tapi saya fikir (mampu bertahan) kerana mak dan seorang rakan saya ini.

“Saya sempat hantar mesej kepada mak saya minta maaf dan beritahu tak pasti saya boleh ‘lepas’ ke tak ni?

“Namun, mak saya beri semangat supaya saya kena kuat dan lawan sebab saya diperlukan ramai orang,” katanya.

Menurutnya, kata-kata perangsang ibunya itu membuatkan dirinya tekad dan bersemangat untuk melawan penyakit itu.

“Mungkin sudah rezeki saya, doktor memberi peluang terakhir kepada saya untuk menggunakan mesin pernafasan khas untuk pesakit benar-benar kritikal bagi menaikkan kadar oksigen saya.

“Saya beritahu diri sendiri, saya mesti lawan penyakit ini dan pastikan tahap oksigen saya normal dengan cepat jika tidak saya perlu rawatan intubation dan peluang saya lagi rendah.

“Alhamdulillah, bermula Jumaat (15 Januari) tahap oksigen saya semakin menunjukkan perkembangan baik dan Isnin (18 Januari) saya tidak memerlukan mesin oksigen itu lagi,” katanya yang dibenarkan pulang Sabtu lalu, 24 Januari.

Katanya, peluang kedua diberikan kepadanya tidak akan disia-siakan, malah dia mahu terus berbakti kepada yang memerlukan.

“Saya rasa ini macam peluang kedua yang Allah jentik beri kesedaran untuk saya memberikan hidup dan bekerja lebih keras lagi berbakti kepada lebih ramai orang.

“Insya-Allah sebagai permulaan, saya sedang uruskan untuk menyumbang 100 unit mesin bantuan pernafasan khas yang saya pakai itu kepada Hospital Sungai Buloh kerana saya sedar ia satu keperluan, namun bilangannya amat terhad.

“Jadi mudah-mudahan dengan sumbangan itu, kita dapat membantu lebih ramai pesakit Covid-19,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa orang ramai.

“Hati saya amat terkesan dan tabik hormat dengan frontliner (barisan hadapan) kita yang bekerja keras menyelamatkan nyawa orang tanpa mengira siapa kita.

“Pada saya mereka sangat dahsyat dan luar biasa. Sepatutnya masyarakat juga perlu menyokong dan bersatu hati melawan Covid-19 ini kerana ia menyerang tidak mengira siapa jika teruk boleh meninggal dunia,” katanya.

Dalam pada itu katanya, seluruh ahli keluarganya yang dijangkiti Covid-19 hanya mengalami gejala ringan dan kini sudah pulih.

“Hanya saya bersama abang dan ibu mentua dimasukkan ke ICU, manakala ibu saya ditempatkan di wad biasa.

“Keluarga lain ada yang mengalami gejala ringan ada yang tidak, kini mereka semua sudah pulih.

“Cuma saya agak terkilan ibu mentua tidak dapat diselamatkan kerana arwah juga menghidap buah pinggang namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.