Inspektor didakwa rogol 2 wanita Mongolia [METROTV]

PEGAWAI polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan rogol dan cubaan cabul dua wanita Mongolia di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

Tertuduh, Hazrul Hizham Ghazali, 30, membuat pengakuan itu dan memohon kes dibicarakan selepas sembilan pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Pegawai polis itu yang kini digantung tugas sejak Rabu lalu hadir ke mahkamah bersama dua peguam belanya, Shah Rizal Abdul Manan dan Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri daripada Tetuan Shah & Harrie ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, 8.50 pagi tadi.

Enam pertuduhan rogol dan satu pertuduhan cubaan cabul terhadap mangsa pertama berusia 20 tahun serta dua pertuduhan rogol untuk mangsa kedua berusia 36 tahun dikenakan terhadap tertuduh dengan menggunakan kedudukan kuasanya sebagai pegawai polis bagi mendapatkan kerelaan mereka

Bagi sembilan kes berkenaan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana merogol serta cubaan cabul.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 April lalu antara 1.30 hingga 4 pagi di bilik hotel di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah memohon mahkamah supaya tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana bimbang dia akan menyalahgunakan kuasanya untuk menganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam bela, Shah Rizal berhujah dengan alasan kedua-dua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan dan tidak wujud sebab untuk tertuduh cuba mengganggu mereka.

Shah Rizal juga merayu mahkamah supaya mempertimbangkan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin dengan nilai serendah-rendahnya mengambil kira situasi semasa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norshila menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM24,000 bagi lapan pertuduhan rogol dan RM3,000 untuk pertuduhan cubaan cabul dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan 2 Jun nanti sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen kes berkenaan.

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang. FOTO Saifullizan Tamadi
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang. FOTO Saifullizan Tamadi

Semalam, Harian Metro melaporkan pegawai polis itu menghadapi dua pertuduhan atas kesalahan memperdagangkan kedua-dua wanita berkenaan di Mahkamah Sesyen Klang.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Pada 11 April lalu , pegawai polis itu ditahan selepas disyaki merogol dua wanita Mongolia berkenaan di sebuah hotel di daerah ini.

Pegawai polis itu dipercayai mengenali wanita terbabit ketika bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini.

Berita berkaitan:

  • Inspektor didakwa memperdagangkan wanita Mongolia [METROTV]