Inspirasi ‘gadis cheetah’

London: Wanita ini pernah tertekan dan enggan keluar rumah disebabkan penyakit kulit, psoriasis yang menjadi kronik selepas mencium pesakit tonsil pada malam tahun baharu 2018.

Sebelum itu, Aimee Godden, 34, berkata, dia hanya menderita psoriasis ringan sejak berusia 14 tahun dengan hanya beberapa tompok merah pada badan yang dapat disembunyikan dengan pakaian.

Perubahan ketara kulit terutama di muka, menyebabkan dia rasa tersisih dan menerima pandangan serong masyarakat yang melihatnya seperti pembawa wabak.

Kini, selepas dua tahun berlalu, Aimee yang berasal dari Ashford, Kent dapat menerima sepenuhnya kekurangan diri dan dia menjadi inspirasi kepada orang lain yang turut berjuang dengan masalah kulit.

Menceritakan permulaan masalah, pengurus jualan dan fesyen itu berkata, dia mencium bekas teman lelakinya pada malam tahun baharu tanpa mengetahui lelaki berkenaan penghidap tonsilitis.

“Apabila bintik merah keluar di muka, saya terganggu dan menangis setiap hari. Lebih kecewa apabila doktor memberitahu tonsilitis menjadi pencetus kepada psoriasis lebih kronik, selain tekanan.

“Kulit jadi sangat gatal dan pedih. Ia sukar digambarkan. Saya menghabiskan setiap petang dengan menyapu krim dan meletakkan pek ais untuk melawan kegatalan.

“Saya guna 12 krim dicadangkan di sosial media di seluruh badan. Saya juga menjaga diet sehingga akhirnya merasa perlu menerima keadaan diri,” katanya seperti dilapor DailyMirror.

Dia mengambil masa sebulan untuk bertenang dan memulakan langkah drastik dengan berkongsi gambarnya di media sosial.

Aimee terkejut apabila menerima reaksi positif daripada pengguna laman sosial yang mengatakan dia cantik, unik dan seseorang daripada persatuan psoriasis Amerika Syarikat menggelarnya gadis cheetah kerana kelihatan seperti harimau bintang.

“Saya terima komen positif yang menaikkan semangat dan keyakinan diri. Ada yang hantar mesej dan berkongsi masalah sama serta mengakui saya memberi inspirasi kepadanya,” katanya.

Wanita itu gembira apabila dapat memberi inspirasi kepada orang memerlukan dan dia banyak dirakam dalam kempen untuk memberi kekuatan kepada orang senasib dengannya.