Insta cilik dikecam tinggal bersama

Kiev: Satu pasangan kekasih cilik di Ukraine mengundang kemarahan masyarakat apabila dilaporkan tinggal bersama-sama di dalam satu rumah.

Apa yang mengejutkan, budak perempuan itu baru berusia lapan tahun manakala si lelaki pula hanya berumur 13 tahun.

Lebih mengejutkan, tindakan pasangan berkenaan yang juga pempengaruh media sosial di negara itu, dilaporkan ‘direstui’ oleh keluarga.

Daily Star melaporkan pasangan itu model cilik, Mila Maxanets tinggal bersama-sama dengan remaja bernama Pavel Pai.

Mila mempunyai lebih 513,000 pengikut di Instagram manakala Pavel mempunyai 50,000 pengikut.

Media tempatan melaporkan tindakan itu dipercayai mendapat sokongan keluarga yang menggunakan populariti pasangan itu untuk meraih pendapatan.

Mereka mempamerkan gambar mesra seperti pasangan kekasih yang lebih berusia.

Malah, satu laporan lain mendakwa pasangan itu bekerjasama untuk menghasilkan kandungan bagi paparan di akaun media sosial mereka.

Dalam pada itu, berita mengenai pasangan itu menimbulkan kemarahan dan kecaman masyarakat yang bimbang dengan pengaruh tidak baik kepada kanak-kanak.

Antara kritikan diterima termasuk meminta pihak berkuasa menyelamatkan pasangan itu yang masih di bawah umur.

Orang ramai yang marah menyarankan supaya pasangan itu dibawa ke pusat perlindungan dan menggesa supaya akaun media sosial mereka disekat.

Pengacara dan penganalisis jenayah, Anna Maylar menyifatkan ibu bapa mereka membuat keputusan tidak sepatutnya dalam hal itu.

Beliau berkata, ini memandangkan ramai kanak-kanak menjadikan model perempuan itu sebagai idola.

“Ini sangat bertentangan dengan perkembangan seksual yang normal untuk kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, akaun IG Mila dan Pavel sehingga kini masih aktif.