Intan jaga privasi

KISAH pelakon, Intan Najuwa, 23, putus tunang dengan ahli perniagaan, Razrul Anwar Rusli, 40, Februari tahun lalu pantas mencuri perhatian ramai.

Bagaimanapun, hubungan mereka dikatakan sudah berputik kembali beberapa bulan selepas itu apabila Intan memuat naik gambar mesra dengan Razrul di Instagram, Jun tahun lalu.

Sejak gambar terbabit tular, Intan dilihat mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri sehingga membuka sedikit ruang privasinya.

Enggan mendedahkan secara terperinci mengenai hubungan cintanya dengan Razrul ketika ini, Intan berkata, cukup dia memaklumkan hubungannya berada dalam keadaan baik.

“Sebenarnya hubungan kami masih baik. Itu sahaja yang boleh saya katakan. Nak ulas lebih lanjut mengenai sejauh mana hubungan kami, saya tak nak komen. Pengalaman lalu banyak mengajar saya, jadi lebih baik saya simpan sendiri segala apa yang berlaku dalam hubungan saya.

“Lagipun ada banyak hati yang perlu dijaga seperti pihak keluarga saya serta pihak di sebelah sana juga. Jadi, ada baiknya saya diam dan ikut saja apa yang ditentukan. Doakan hubungan kami berada dalam keadaan yang baik,” katanya yang bertunang dengan Razrul pada 18 Ogos 2019.

Mengakui sikap keterbukaannya memberi aura negatif apabila kisah peribadi lebih mendapat perhatian, Intan berkata, dia mahu kerjaya lakonannya yang menjadi fokus utamanya.

“Saya akan kongsikan perkara yang saya rasa perlu saja seperti kerjaya saya. Ini kerana, saya nak elakkan perkara negatif berlaku. Lebih baik saya simpan kisah peribadi saya sendiri saja. Bukan serik cuma saya nak hadkan berkongsi hal peribadi. Saya mula sedar bahawa privasi itu sangat penting,” katanya.

Ditanya adakah dia akan merahsiakan berita perkahwinannya nanti, Intan memaklumkan perkara itu akan diumumkan kerana ia sesuatu yang baik.

“Buat masa ini saya tak fikir mengenai kahwin. Tapi, kalau sudah sampai waktunya, saya akan kongsikan kepada semua. Lagipun berita baik kena kongsi kepada pengikut dan peminat sebab mereka, saya berada di tahap sekarang,” katanya.

Menurut Intan, dia bersyukur apabila Razrul tidak pernah cemburu setiap kali dia bergandingan dengan lelaki lain dalam drama lakonannya.

MAHU fokus perniagaan secara online.
MAHU fokus perniagaan secara online.

“Dia sangat faham dengan kerja saya. Setiap gambar atau video mesra yang dimuat naik dia tahu untuk tujuan promosi drama. Jadi tidak timbul soal cemburu atau bergaduh. Kami berada dalam keadaan baik sebagai kawan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Intan kini menjalani penggambaran drama bersiri terbitan Zeel Production berjudul Tak Sempurna Mencintaimu untuk slot Akasia TV3.

Diarahkan Emi Suffian, Intan memegang watak sebagai Siratul dalam karya adaptasi novel berjudul sama nukilan Rehan Makhtar.

“Menerusi drama bersiri ini, saya mengubah sedikit watak Siratul. Dalam novel, Siratul digambarkan sebagai wanita yang lembut dan sederhana. Namun, saya menambah perisa dengan menjadikan Siratul seorang wanita yang lebih tegas untuk mencantikkan visual,” katanya.

Bergandingan dengan Redza Rosli buat pertama kali, Intan berkata, dia mudah mencari keserasian dengan Redza.

“Dia sangat mudah untuk diajak berbincang. Banyak babak yang kami berlatih dahulu sebelum memulakan penggambaran. Saya tak perlu ambil masa lama untuk mencari keserasian. Redza sangat membantu saya memberikan mood dalam drama ini. Saya harap drama ini akan diterima baik dan mendapat sambutan yang baik apabila ditayangkan pada Mac depan,” katanya.

Dalam pada itu, Intan menyambut tahun ini dengan segunung harapan yang besar untuk perjalanan karier seninya sebagai pelakon.

“Alhamdulillah dari tahun lalu sampai sekarang saya tak putus dihujani tawaran berlakon. Saya juga harap tahun ini karier seni saya terus berkembang dan berjaya. Saya juga nak fokus pada perniagaan yang diusahakan di platform online,” katanya.