Intan rasa bertuah

KERJAYA lakonan Intan Najuwa, 23, tetap bersinar walaupun dia sering dipalit cerita sensasi.

Lebih-lebih lagi apabila dia baru putus tunang kira-kira sebulan lalu.

Cekal dengan apa yang berlaku, wanita genit ini tidak mahu terus meratap sedih.

Kehidupan perlu diteruskan dan fokus pada kerjaya menjadi keutamaannya.

Enggan mempedulikan apa saja pandangan negatif, pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abdul Wahid ini selesa membiarkannya.

Selagi tidak keterlaluan, Intan positif. Ditambah, kini dia sangat bersyukur kerjaya lakonannya masih bersinar walaupun semakin ramai bakat baru yang hadir.

Muncul dengan drama baru berjudul Ironi Kasih di slot Akasia TV3 mulai 2 April lalu, Intan berganding dengan Aqasha sebagai heronya.

Lebih menarik lagi, selain jalan cerita semestinya drama ini dibarisi pelakon senior hebat seperti Datuk Fizz Fairuz, Intan Ladyana, Ramona Zamzam dan Fauziah Ahmad Daud.

INTAN bersyukur kerjaya lakonan terus bersinar.
INTAN bersyukur kerjaya lakonan terus bersinar.

Mengulas kerjasama dengan pelakon berpengalaman, Intan berkata, dia suka dan berasa sangat bertuah kerana dapat menimba begitu banyak ilmu lakonan dan cara bekerja.

“Bekerja dengan pelakon senior seperti Aqasha dan Intan Ladyana amat mudah. Mereka sudah banyak pengalaman dan senang untuk menimba ilmu termasuk mengikut cara kerja mereka.

“Sangat senang kerana di antara kami, masing-masing memberi kerjasama yang baik. Namun, cabaran dalam merealisasikan watak dibintangi tetap ada.

“Untuk saya, mencabarnya watak Kasih dilakonkan itu apabila banyak babak dengan pelakon kanak-kanak, Isaac Iman sebagai Danish,” katanya.

Intan berkata, Kasih pada mulanya bekerja sebagai pembantu pengurusan di firma arkitek milik Johan (lakonan Aqasha) yang diminta menjadi pengasuh anaknya, Danish.

“Babak saya memang banyak dengan Iman dan ternyata ia tidak mudah. Ini kerana, saya perlu bijak mengendali emosi dan rasa suka kanak-kanak ketika bekerja terutama apabila berdialog.

“Terus-terang, saya tak boleh terlalu ikut dialog daripada skrip dan kena ikut rentak kerja kanak-kanak. Kena selalu emosi dia (Iman) okey ke atau sebaliknya sebab kanak-kanak tak boleh dipaksa,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai drama 15 episod itu, Intan berkata, penggambaran sudah disiapkan sebelum kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Katanya, dia bersyukur drama arahan Nazir Jamaluddin itu dapat disiapkan sepenuhnya.

Menurut Intan, dia juga terbabit dengan penggambaran drama yang ditangguhkan seketika kerana sekatan PKP.

Menurut anak jati Johor ini, dia mengharapkan usaha kerajaan menerusi PKP dibuat akan berjaya memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 dan berharap Malaysia kembali sejahtera seperti biasa tidak lama lagi.

Jadi wanita perampas?

Apabila meneliti sinopsis drama itu, watak Kasih yang dilakonkan Intan boleh dianggap ‘negatif’ kerana dia bakal merampas suami orang sekali gus menggugat kebahagiaan hubungan Johan dan isteri, Emilia (Intan Ladyana).

Mengulas apakah Intan tidak bimbang dikecam penonton, katanya, dia sudah bersedia jika watak Kasih itu bakal menerima kecaman hebat.

Katanya, apabila sesuatu watak itu dikecam penonton bermakna lakonan dipersembahkan menjadi kerana meninggalkan kesan di hati.

“Apapun, setiap orang pasti ada pendapat mereka masing-masing. Malah, lakonan saya sebagai Kasih itu pun adalah cerita semata-mata. Jadi, tontonnya untuk pengajaran dan panduan.

“Saya tahu, masyarakat sangat sensitif apabila menonton drama yang mengaitkan kisah rampas merampas ini. Namun, setiap babak dalam cerita itu ada mesej dan moral yang nak disampaikan.

“Tonton dengan tenang dan mana yang buruk itu jadikan sempadan. Ia boleh dilihat sebagai proses membentuk pengajaran dalam kehidupan. Ambil sebagai iktibar,” katanya.

Intan turut berterima kasih dengan penonton yang menyaksikan drama itu. Katanya, teruskan memberi sokongan berikutan kini semua orang berkurung di rumah kerana tempoh PKP.