Isu kartel daging: 4 individu ditahan SPRM

[email protected],my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat individu membabitkan pengarah dan pekerja syarikat pengimport daging sejuk beku kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah berhubung isu aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Sumber berkata, siasatan masih dijalankan dan kesemua suspek berusia antara 39 hingga 50 tahun terbabit ditahan di pejabat SPRM Johor, malam tadi.

SPRM memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di negara ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah diperolehi untuk mengenal pasti pengimport daging berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah majistret, pagi ini, bagi permohonan reman.

Sebelum ini media mendedahkan kegiatan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah termasuk yang diragui status halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ sesetengah kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Kartel didakwa mempunyai ‘orang dalam’ di semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka ‘kebal’ sehingga mampu beroperasi lebih 40 tahun tanpa dikenakan sebarang tindakan.