Itu tapir bukan harimau

Sepang: Kelibat harimau yang didakwa dilihat penduduk di ladang sawit berhampiran projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Bukit Perah, Olak Lempit, baru-baru ini, sebenarnya seekor tapir.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Haidar Khan Mokbolhasan berkata, berdasarkan siasatan pihaknya hari ini mendapati haiwan yang didakwa penduduk sebagai harimau sedang merayau di kawasan itu sebenarnya adalah seekor tapir.

Menurutnya, pihaknya akan memantau kehadiran haiwan berkenaan kerana kawasan kampung itu bersebelahan dengan hutan simpan Kuala Langat.

Katanya, buat masa ini, pihaknya tidak melakukan sebarang tangkapan terhadap haiwan berkenaan, bagaimanapun sekiranya ia melakukan konflik seperti merosakkan tanaman dan mengancam keselamatan penduduk, barulah Perhilitan bertindak.

“Kami akan terus melakukan pemantauan di lokasi aduan dan penduduk diminta menghubungi Perhilitan sekiranya melihat haiwan berkenaan merayau.

“Penduduk juga tidak perlu bimbang mengenai keselamatan mereka dan dinasihatkan agar tidak mengambil gambar atau berswafoto sekiranya terserempak dengan haiwan itu bagi menjaga keselamatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin Harian Metro melaporkan penduduk mendakwa ternampak seekor harimau kumbang merayau berhampiran ladang sawit projek WCE, Bukit Perah.

Susulan kejadian itu penduduk bimbang keselamatan kerana jalan itu menjadi laluan utama untuk urusan seharian.

Berita berkaitan

• Harimau merayau masuk kampung