‘Jadi sukarelawan kerana ia tanggungjawab saya’ – Dr Muhamad Akmal

“SAYA menjadi sukarelawan kerana mahu membantu mencegah penularan wabak Covid-19.

“Walaupun saya tahu risiko jangkitannya, tetapi sebagai seorang doktor saya harus mengambil tanggungjawab untuk ‘berperang’ dengan pandemik itu,” kata pemilik sebuah klinik di Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dr Muhamad Akmal, 33, salah seorang sukarelawan petugas kesihatan yang ditugaskan untuk berkhidmat secara lapangan di zon Kuala Lumpur.

Berkongsi pengalaman, Dr Muhamad Akmal berkata, beliau mula bertugas di zon itu sejak 6 April lalu selepas terpilih sebagai sukarelawan untuk membantu pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan pengesanan kes aktif dan saringan di kluster wabak.

Katanya, antara lokasi tugasannya adalah di Menara Plaza City One, Jalan Munshi Abdullah; bangunan Selangor Mansion, Jalan Masjid India dan terbaharu di Flat PKNS, Kampung Baru.

“Sebaik diberitahu mengenai tugasan ini, saya terus bergerak ke Kuala Lumpur dan secara kebetulan isteri serta dua anak memang menetap di sana.

“Kali pertama menyertai pasukan barisan hadapan, saya bangga melihat semangat mereka yang tetap tabah walaupun penat. Malah ada antara mereka yang tidak pernah balik ke rumah dan bercuti sejak Februari lalu.

“Semangat mereka membuatkan saya mendapat kekuatan untuk mengharungi tugasan ini. Memang penat tetapi ia bukan penghalang untuk terus berbakti,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut Dr Akmal, antara cabaran perlu dilaluinya dan petugas kesihatan lain adalah memakai PPE sepanjang menjalankan tugas.

“Sangat panas ibarat sauna bergerak. Adakalanya kami terpaksa bertugas dari pagi hingga malam dengan memakai PPE,” katanya yang mempunyai lapan tahun pengalaman sebagai pegawai perubatan.

Dr Muhamad Akmal berharap semua petugas kesihatan di barisan hadapan tidak berputus asa dan terus bersemangat untuk berganding bahu menjalankan tugasan diamanahkan.

“Nasihat saya kepada orang ramai adalah memberi kerjasama kepada petugas barisan hadapan dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada segelintir menganggap kita sudah menang peperangan (mengekang penularan) kerana peningkatan kes statik yang menjadi petunjuk baik, sedangkan kita masih berperang.

“Apa yang paling ditakuti wabak itu tidak dapat dibendung lagi dan jadi lebih teruk jika orang ramai masih degil dan ingkar PKP yang memasuki fasa ketiga. Usaha kami selama ini juga menjadi sia-sia,” katanya.