Jaguh bola freestyle

BUKAN mudah untuk menggayakan teknik bola sepak gaya bebas atau free style kerana ia memerlukan bakat, kreativiti dan kemahiran kawalan bola.

Malah, seseorang itu perlu memberi sepenuh tumpuan selain menjalani latihan demi latihan untuk memahirkan diri, sekali gus menuntut pengorbanan besar.

Namun, penat lelah itu berbaloi apabila bakat itu semakin diiktiraf bukan sahaja di peringkat tempatan, malah antarabangsa.

Ikuti perkongsian tiga anak muda yang mencipta nama dalam arena sukan bola sepak gaya bebas ini.

Muhammad Hazim Ahmad Fadlullah Suhaimi, 25, Youtuber, penjual pakaian, tenaga pengajar bola sepak gaya bebas untuk kanak-kanak.

“Saya belanja wang simpanan RM10,000 demi membawa nama Malaysia ke persada bola sepak gaya bebas setaraf Norway, Brazil dan Argentina.

“Syukur kerana ia berhasil apabila saya dinobatkan juara sukan bola sepak gaya bebas, Umbro Panna Competititon 2018 di Thailand seterusnya layak berada dalam kelompok tiga terbaik Malaysia.

“Bagi memastikan sukan ini bukan sekadar hiburan jalanan, saya berusaha menganjurkan pelbagai kejohanan, sekali gus mengumpulkan pemain bola sepak gaya bebas dari seluruh negara.

“Saya tidak mahu bakat kami disia-siakan selain mahu teknik ini mendapat tempat seiring sukan lain dan kami layak digelar atlet.

“Ketika ini, pemain bola sepak gaya bebas semakin berkembang hasil pendedahan serta perkongsian di media sosial seperti Instagram dan YouTube, tetapi tidak dipandang masyarakat.

“Saya banyak menghasilkan video teknik dan aksi bola sepak gaya bebas moden serta berharap kandungan kreatif seperti ini membuka mata masyarakat mengenai teknik sukan ini.”

Muhammad Aidil Fikri melakukan aksi timbang bola.
Muhammad Aidil Fikri melakukan aksi timbang bola.

Muhammad Izzat Akmal Mohd Raif, 22, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) (Pengurusan Operasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.

“Saya pernah bercita-cita mahu menjadi pemain bola sepak seterusnya mengharumkan nama Malaysia. Bagaimanapun, takdir menentukan saya berjaya dalam sukan lain.

“Bagaimanapun, saya pernah mewakili negara pada Kejohanan Asia Tenggara di Singapura dan dinobatkan lapan terbaik, selain menyertai program pencarian bakat bola sepak Soccer Kids dan Mencari Ramli, tetapi tidak terpilih.

“Walaupun sedih kerana impian menjadi pemain bola sepak tidak kesampaian, saya tetap gembira dengan pencapaian dalam sukan ini.

“Saya beralih arah meminati teknik gaya bebas selepas jatuh cinta dengan bakat pemain bola sepak dari Perancis, Séan Garnier iaitu antara pencetus sukan ini.

“Dahulu, saya tiada rakan untuk berlatih, tetapi minat yang sama akhirnya menyatukan kami.”

Muhammad Anas Hakim Nur Hashim.
Muhammad Anas Hakim Nur Hashim.

Muhammad Anas Hakimi Nur Hashim, 19, pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Rembau

“Saya terbabit dengan sukan ini sejak lima tahun lalu, malah pernah dinobatkan Naib Johan Kejohanan Asia Tenggara di Singapura dan tempat ketiga Kejohanan Asia Pasifik di Vietnam.

“Konsisten dan disiplin menjadi rahsia kejayaan selain sokongan ibu bapa.

“Saya kurang bercakap dan kerana itu saya terbabit dalam sukan ini, disebabkan ia secara tidak langsung mengekspresi diri dalam setiap gerak geri.

“Semakin sukar sesuatu aksi membuatkan saya lebih bersemangat memahirkan diri walaupun berdepan risiko kecederaan badan.”