‘Jakel mohon maaf kepada orang Melayu’ [METROTV]

“DENGAN rendah hati, saya mewakili seluruh ahli keluarga dan rangkaian perniagaan Jakel memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu yang tersinggung dengan kenyataan adik saya (Muzaffar),” kata Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Beliau membuat permohonan maaf itu susulan kenyataan adiknya yang tular di media sosial dan mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan warganet disebabkan ia disifatkan berbaur penghinaan kepada orang Melayu.

Menurut Mohamed Faroz, beliau sendiri kesal dan marah dengan tindakan adiknya apatah lagi beliau sedar dan mengakui orang Melayu adalah penyokong terbesar perniagaannya selama ini.

“Isu itu kini seolah-olah ditokok tambah pihak tertentu yang mungkin cuba menghangatkan situasi serta menjatuhkan perniagaan Jakel.

“Awalnya, adik saya hanya menjawab pertanyaan seorang pelayar mengenai SOP (prosedur operasi standard) premis Jakel yang akan kembali beroperasi esok.

“Ia susulan ada warganet yang menyatakan kewujudan kluster Jakel pula apabila premis perniagaan kami dibuka, jadi adik saya memaklumkan SOP akan dititikberatkan sepanjang beroperasi.

“Walaupun adik saya sudah menyatakan mengenai SOP itu, pelayar berkenaan berterusan bertanya apa SOP yang dimaksudkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Mohamed Faroz berkata, disebabkan itu, adik saya memuat naik kenyataan berkenaan dan dia mengakui cara penulisan adiknya menampakkan seolah-olah tidak sensitif dan mengguris hati orang Melayu.

DATUK Mohamed Faroz. FOTO Arkib NSTP
DATUK Mohamed Faroz. FOTO Arkib NSTP

“Saya juga terkesan dengan kenyataannya dan marah tetapi perkara sudah pun berlaku. Pada saya, salah faham ini menjadi lebih teruk apabila ia mula ditokok tambah oleh hantaran lain yang tidak tepat,” katanya.

Merujuk kepada individu yang menggunakan nama Nor Lizah di Facebook, Mohamed Faroz berkata, individu terbabit tiada kena mengena dengan keluarga mahupun perniagaan Jakel.

“Saya dan keluarga langsung tidak mengenali individu itu jauh sekali menyokong kenyataannya. Isu ini saya kira hampir reda namun hantaran Nor Lizah di Facebooknya memanaskan kembali seperti mencurah minyak ke atas api yang hampir padam.

“Sangatlah tidak logik dan tidak masuk akal untuk menghina (orang) Melayu seumpama itu apabila saya sendiri sedar mereka begitu setia menyokong kami selama ini. Malah, mana mungkin kita akan menghina secara terbuka.

“Saya berharap masyarakat dapat memaafkan sebarang khilaf yang dilakukan seluruh ahli keluarga dan pekerja saya. Saya mungkin agak beremosi dalam hal ini tetapi (saya) benar-benar kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku,” katanya.

Kenyataan Muzaffar semalam tular apabila dia dikatakan menghina orang Melayu menerusi hantarannya di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan warganet khususnya masyarakat Melayu.

Isu bertambah panas apabila individu menggunakan nama Nor Lizah turut menghina Melayu dengan lebih teruk menerusi penggunaan perkataan bodoh dan sebagainya.

Bagaimanapun difahamkan, pemilik akaun, Nor Lizah itu dikatakan membuat laporan polis kerana tidak membuat hantaran itu sebaliknya dilaporkan berkata akaun Facebooknya digodam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan