Jalani terapi dirumah

NAMA pelakon Tiz Zaqyah pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi. Ditambah, kualiti lakonan yang dipersembahkan baik dalam drama atau filem menjadikan Tiz antara pelakon wanita terbaik di Malaysia.

Anugerah pelakon wanita terbaik dan popular yang pernah dimenangi melayakkan dirinya berada dalam kelas tersendiri.

Semua itu terbukti apabila Tiz, 33, bukan sahaja cemerlang dalam naskhah berat, tapi juga cerita ringan atau komedi.

Tahun 2021 menjadi permulaan baik dalam kerjaya lakonan Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak apabila bakal muncul dalam drama Diva Popular yang menggandingkan dia dengan nama-nama hebat seperti Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Nabila Huda, Ben Amir dan ramai lagi.

Menariknya, Tiz melakonkan watak Ika Natelia menjadi anak kepada seniwati, Fauziah Ahmad Daud atau mesra disapa Ogy yang melakonkan watak Lola Kartika.

Malah, menerusi hantaran dimuat naik di Instagram Ogy, pelakon dan pengacara terkenal itu memuji lakonan Tiz.

“Boleh dikatakan drama ini adalah kesinambungan cerita Pengantin Popular suatu ketika dahulu yang menampilkan kak Ogy dan kak Erma. Tapi kali ini jalan cerita fokus kepada anak mereka pula. Saya anak kepada kak Ogy dan Nabila Huda, anak kepada kak Erma. Jadi, kami ganti ‘havoc’ itu.

“Saya memang tak pernah berlakon dengan kak Ogy. Malah, sudah lama tidak bekerjasama dengan kak Erma. Apabila dapat tawaran menjadi anak kepada kak Ogy, saya terus cakap nak dan susun jadual. Alhamdulillah, dapat juga buat. Saya memang nak bekerjasama dengan nama-nama hebat ini. Sepanjang penggambaran memang ‘havoc’. Skrip sekadar panduan dan yang lain boleh adlib. Selagi pengarah tak cakap ‘cut’, kami cakap sahaja. Memang seronok.

“Sejujurnya saya terharu dengan kata-kata Kak Ogy. Bukan saya nak berbangga, tapi ia untuk saya berhati-hati lagi bagi memantapkan lakonan saya. Saya tidak boleh santai sangat. Apabila kita sudah lama berlakon, tak semestinya tak nak ambil cabaran baru. Tapi, dalam cerita ini, cabaran baru saya apabila orang percaya dengan lakonan kita, jadi kena buat lebih baik. Satu penghargaan apabila dapat pujian itu daripada kak Ogy,” katanya.

Menurut Tiz yang mula mencipta nama menerusi drama Nur Kasih berkata, dia tidak berasa tertekan berlakon dengan legenda dan nama-nama hebat lain.

“Berlakon dengan legenda, tak ‘stress’ dan tak susah, tapi seronok dan teruja. Kita ikut ‘flow’ mereka. Mungkin juga kerana jalan cerita ini yang ‘fun’. Walaupun ada babak berat, tapi apa yang penting kena ‘fun’ saja,” katanya.

Drama arahan Rashid Sibir itu bakal ditayangkan di saluran Awesome TV.

TIZ seronok berlakon dengan lagenda dalam drama Diva Popular.
TIZ seronok berlakon dengan lagenda dalam drama Diva Popular.

Terapi melukis

Sekali lagi melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, Tiz turut berkongsi pengalaman ketika PKP yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

“Saya bersyukur sangat sebab ketika itu saya memang memerlukan masa untuk bersendirian dan duduk di rumah. Bagi saya, itu masa untuk kenal diri dan buat perancangan masa depan. Jadi, sewaktu PKP yang lalu, ia sangat membantu untuk saya.

“Dari segi kewangan, alhamdulillah, saya ada pendapatan menerusi produk. Selain itu, saya banyak belajar mengenai diri sendiri. Tidak ada sampai nak tekanan kerana saya buang yang negatif, tapi lebihkan positif,” katanya,

Apa yang pasti, musim PKP tahun lalu dimanfaatkan sebaiknya untuk mengembalikan semula kemahiran melukis yang ada dalam diri.

“Saya mula melukis semula. Sudah lama tak melukis sebab sibuk ‘shooting’ sehingga tidak ada masa nak melukis. Tapi, apabila PKP ramai minta saya melukis semula. Jadi saya buat dan ternyata ia satu terapi dan ketenangan.

“Apabila melukis idea dan otak pun jalan. Alhamdulillah, saya dapat balik semangat. Daripada kita fikirkan apa yang terjadi sehingga buatkan diri tertekan, lebih baik cipta perkara yang lebih positif untuk diri.

“Malah, di Twitter saya berkenalan dengan kenalan baru yang juga pelukis. Jadi, sekarang ini saya ambil berat soal lukisan selain berlakon. Insya Allah, tahun ini saya cuba seimbangan antara lakonan dan melukis,” katanya.

Mengenai perancangan berkahwin, Tiz berkata buat masa sekarang ia bukan keutamaan selain menyerahkan perkara jodoh itu kepada ketentuan Allah SWT.

“Soal kahwin mestilah ada perancangan. Kalau ramai kawan yang sudah kahwin, itu adalah rezeki daripada Allah SWT. Kalau ditanya pada saya, pasti ada sasaran. Tapi, ia bukan keutamaan saya sekarang.

“Sebab saya pun membesar dengan keluarga. Ada atau tidak, ia rezeki. Kalau ada, adalah. Soal calon, insya Allah ada,” katanya.