Jangan alpa, negara belum ‘menang’ – Dr Noor Hisham

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) khuatir sekiranya masyarakat alpa kepentingan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan trend penurunan jumlah kes positif koronavirus baharu (Covid-19), akhir-akhir ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penurunan jumlah kes beberapa hari ini dibimbangi disalah erti serta membuatkan masyarakat lalai lalu mengambil mudah PKP kerana memikirkan bahawa wabak ini hampir selesai.

Susulan itu, beliau menegaskan sekali lagi bahawa negara belum memenangi pertarungan untuk mengalahkan atau menghapuskan wabak virus Covid-19.

“KKM ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dalam menghadapi kejadian Covid-19 di Malaysia.

“Tiga bulan sudah berlalu sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM.

“Semua petugas barisan hadapan dari semua agensi sudah bertungkus-lumus setiap hari dalam mengawal kejadian ini.

“Namun, KKM khuatir penurunan kes menyebabkan segelintir masyarakat alpa sebab memikirkan wabak ini hampir lalu ambil mudah kepentingan ikuti arahan PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian hari ini dalam sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya.

Dr Noor Hisham memohon supaya petugas barisan hadapan semua agensi kekal cekal dan tabah bersama KKM memerangi penularan Covid-19 di negara ini.

“Pada masa sama, walaupun perkembangan dalam penurunan kes ini sememangnya positif, masyarakat masih perlu berada di rumah, mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.

“Selain itu teruslah mengamalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun.

“Pendekatan ini penting dalam memutuskan rantaian penularan jangkitan. Pihak KKM akan terus memantau perkembangan kejadian Covid-19 melalui maklumat yang diperoleh dan akan dimaklumkan kepada rakyat semasa ke semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    #kw Covid-19, KKM