‘Jangan cabar perlembagaan’

Keharmonian dan perpaduan kaum umpama ‘jantung’ negara yang tidak boleh dipisahkan.

Namun, sering kali ada cubaan untuk merosakkannya.

Adakah 63 tahun kemerdekaan negara benar-benar dapat ‘memerdekakan’ pemikiran rakyat Malaysia menjadi bangsa yang lebih bertamadun serta cintakan tanah air?

Ikuti wawancara bersama Pakar Sejarah PROF DATUK DR RAMLAH ADAM dan wartawan NOR ASYIKIN MAT HAYIN bagi mengupas isu ini.

Keharmonian kaum di Malaysia semakin terhakis?

Pada pendapat saya, agak keterlaluan untuk mengatakan keharmonian kaum di Malaysia semakin terhakis.

Mungkin ada yang beranggapan sebegitu disebabkan iklim politik Malaysia yang kurang tenang sebelum ini.

Daripada aspek perpaduan kaum pula, saya melihat setiap parti politik di Malaysia masih mengutamakan kerjasama kaum dalam parti masing-masing.

Langkah kerajaan mewujudkan Kementerian Perpaduan Negara yang bertanggungjawab menggubal dasar perpaduan negara adalah tindakan tepat.

Hari ini, tiada lagi pihak yang sewenang-wenangnya menyentuh perkara yang boleh menggugat perpaduan kaum di Malaysia atau membangkitkan isu panas seperti menghina agama Islam dan orang Melayu tidak seperti sebelum ini.

Usaha memupuk semangat sayangkan negara selain sayangkan antara kaum kelihatan tidak dijalankan dengan bersungguh-sungguh.

Kita tidak boleh melabelkan kerajaan dengan kenyataan sedemikian.

Apa yang pasti, kerajaan berusaha bersungguh-sungguh memupuk kembali semangat sayangkan negara dan antara kaum.

Di televisyen umpamanya, ada memainkan iklan mengenai Rukun Negara.

Saya anggap ia satu cara menyedarkan rakyat Malaysia betapa pentingnya bekerjasama mendokong ideologi negara dan prinsip lima Rukun Negara.

Perpaduan dan kerjasama kaum perlu diteruskan sama ada dalam politik, pentadbiran, kesihatan serta pendidikan.

Media sosial jadi pusat hina-menghina antara kaum. Perkara kecil sekalipun dijadikan bahan untuk mencaci kaum lain.

Perkara ini terjadi kesan daripada kebebasan bersuara yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia.

Namun, media sosial yang menjadi medium untuk berkomunikasi disalahgunakan oleh segelintir individu tidak bertanggungjawab dengan melakukan perbuatan biadab.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghina orang lain kerana ada peruntukan undang-undang yang boleh mensabitkan perbuatan pelaku.

Lebih-lebih lagi jika menghina perkara berkaitan agama, institusi raja dan kaum.

Mereka yang melakukan kesalahan itu perlu diberikan hukuman setimpal dan seadil-adilnya. Jangan memilih bulu dalam menjatuhi hukuman.

Sebelum ini, ada segelintir rakyat tanpa rasa takut menghina Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.

Ketika ini, banyak pihak selain netizen tidak mengetahui atau arif berkaitan sejarah negara.

Mereka sering mempersoalkan perkara asas yang diselesaikan sejak 63 tahun lalu ketika negara hendak merdeka dan membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

Maknanya, ada perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

Semua perkara ini sudah diselesaikan pemimpin pada masa itu.

Persoalan di luar konteks itu menggambarkan mereka tiada falsafah dan pengetahuan mengenai sejarah.

Mereka yang dilahirkan pada 1990, tetapi ingin mengetahui peristiwa yang berlaku tahun kemerdekaan (1957).

Jadi, mungkin mereka memilih bahan bacaan daripada sumber kurang tepat, lalu timbul kekeliruan hingga mempersoal peranan institusi diraja, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan keistimewaan orang Melayu.

Sistem pendidikan yang pelbagai di negara ini juga menjadi penyumbang kepada kurangnya pengetahuan sejarah dalam kalangan generasi muda.

Jurang perbezaan ini boleh dilihat dalam kalangan penuntut di institusi pengajian awam dan swasta.

Apa yang perlu kerajaan lakukan untuk mengatasi isu yang kritikal ini?

Pertama, hormati Perlembagaan negara dan terbukti kerajaan hari ini dapat melakukannya.

Kedua, jangan cabar Perlembagaan kerana ia punca kuasa undang-undang negara.

Ketiga, Perlembagaan dan dasar negara perlu didokong berteraskan Perlembagaan, perundangan serta keperluan rakyat.

Keempat, kukuhkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua negara yang menyelamatkan negara daripada huru-hara politik oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

Jika dibuat kajian, mungkin semakin ramai yang gagal menyanyikan lagu Negaraku dan ikrar Rukun Negara.

Memang ada segelintir pihak yang gagal melakukan itu semua.

Mereka mendapat kerakyatan sebagai warganegara Malaysia, tetapi tidak sayang dan setia kepada tanah air sebaliknya lebih ‘mengagungkan’ negara luar.

Golongan seperti ini juga tidak mahu mempertahankan kepentingan, memartabatkan bahasa kebangsaan dan ideologi seperti Rukun Negara.

Pada 31 Ogos kita menyambut Hari Merdeka. Bagaimana Prof melihatnya?

31 Ogos ialah tarikh kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu manakala hari kemerdekaan bagi Sabah dan Sarawak ialah pada 1963 iaitu apabila kedua-dua negeri itu memasuki Malaysia.

Jadinya, istilah tepat digunakan ialah Hari Kebangsaan.

Penjelasan ini bagi mengurangkan percanggahan pendapat iaitu perbezaan istilah Hari Merdeka dan Hari Kebangsaan.

Hari Kebangsaan hari yang penting kerana melambangkan kepada negara untuk membuat hala tuju, pentadbiran dan penguasaan serta sistem pendidikan sendiri.

Kemerdekaan yang dicapai pada 1957 bukan sepenuhnya.

Maksudnya, pada masa itu, ekonomi Tanah Melayu masih dipegang oleh British, pertahanan masih dikuasai tentera Komanwel dan menggunakan khidmat pegawai British dalam perkhidmatan awam.

Ketika itu, Tanah Melayu hanya bebas daripada segi pentadbiran dan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dapat menubuhkan Kabinet sendiri.

Kemudian, secara perlahan-lahan, kita dapat menguasai ekonomi dan pertahanan.

Pada pendapat saya, Hari Kebangsaan perlu dirai kerana ia menandakan tanah air bebas daripada belenggu penjajahan dan pengaruh pihak luar.