Janin dibakar, teman lelaki ditahan

Kuala Lumpur: Penahanan teman lelaki kepada pelayan restoran membawa penemuan janin dalam keadaan terbakar di dalam belukar di Pantai Sentral Park, Brickfields, di sini, Jumaat lalu.

Sumber berkata, perkara itu terbongkar selepas wanita berusia 22 tahun mendapatkan rawatan di hospital akibat pendarahan teruk, kira-kira 7.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan doktor mengesyaki wanita itu dipercayai baru melahirkan bayi, namun dia mendakwa mengalami pendarahan ketika berada di rumah sebaik pulang dari bekerja.

Katanya, doktor yang merawat wanita itu bertindak membuat laporan polis selepas mengesyaki sesuatu untuk tindakan lanjut.

“Wanita itu mendakwa tidak tahu sama ada dia mengandung dan sudah melahirkan bayi menyebabkan doktor mengesyaki dia cuba menyembunyikan kelahiran lalu membuat laporan polis.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis yang menjalankan siasatan menahan teman lelakinya berusia 22 tahun di sebuah rumah di Bangsar pada 6.30 petang hari sama.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku membuang janin bayi di kawasan belukar dan membakarnya,” katanya.

Menurutnya, suspek lelaki kemudian membawa sepasukan polis ke lokasi berkenaan sebelum menemukan bungkusan plastik berisi janin dalam keadaan separuh terbakar.

Katanya, janin itu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit untuk siasatan.