‘Janji tak ulang lagi’

“SAYA akan lebih berhati-hati selepas ini dan terus berkhidmat kepada rakyat,” kata Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi, 59.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dr Noor Azmi berkata, beliau memohon maaf atas kesilapan dilakukan dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

“Saya akur dengan perundangan dan sistem kehakiman negara,” katanya.

Selain itu, Exco kerajaan negeri Perak Razman Zakaria, 60, dan 13 individu lain termasuk abang Dr Noor Azmi, Noor Azman, 57, turut didenda RM1,000 kerana ingkar PKP.

Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh menjatuhkan hukuman itu semua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Menurut pertuduhan, semua tertuduh didapati berhimpun dalam kawasan tempatan jangkitan bagi maksud sosial di Dewan Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah Kampung Luat di Lenggong, antara jam 6 hingga 7 malam pada 17 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta boleh dihukum di bawah peraturan 11 (1) peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM1,000 atau penjara dalam tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya boleh dikenakan.

Mengikut fakta kes, sebelum singgah ke maahad tahfiz berkenaan, Dr Noor Azmi, Razman dan beberapa lagi individu melawat Klinik Kesihatan Lenggong untuk meninjau persiapan serta masalah membabitkan kekurangan dan keperluan kakitangan di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak dalam mengawal penularan wabak Covid-19.

Selepas melawat klinik, semua tertuduh singgah ke maahad tahfiz terbabit untuk solat Asar dan memberi sumbangan kepada wakil penduduk sebelum ke dewan untuk menikmati jamuan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar dan Mohamad Amri Alfikri Mohamad Dasuki, sementara semua tertuduh diwakili peguam, Nor Zahari Ismail.

Azhar berkata, semua tertuduh harus dihukum sewajarnya selepas mendengar fakta kes.

Sementara, Nor Zahari dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana ia kesalahan pertama semua tertuduh dan mereka menyesal atas tindakan serta berjanji tidak mengulanginya.

Sementara Norhidayati sebelum menjatuhkan hukuman berkata, tertuduh memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan.

“Saya ambil kira tujuan mereka berkumpul demi membantu penduduk mengawal penularan wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, berkumpul (untuk menikmati jamuan bersama) tidak dibenarkan Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. Ini boleh menyebabkan penyebaran dan terdedah kepada ancaman virus Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan